Selepas melepasi tahap sesi ujibakat di mana komposer, Ajai dan pengarah muzik, Lok U menjadi juri, kesepuluh peserta ‘Vokal…Bukan Sekadar Rupa’ kini terpaksa berhadapan pula dengan dua juri tetap VOKAL iaitu pengkritik tegar program, Azmeer dan juga primadona filem, Erra Fazira serta penampilan seorang juri jemputan pada setiap minggu.
Konsert mingguan pertama ‘Vokal…Bukan Sekadar Rupa’ yang berlangsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral malam tadi menampilkan Dato’ Siti Nurhaliza sebagai juri jemputan pertama yang diundang untuk memberi komen kepada peserta. Malam tadi, lima daripada sepuluh finalis beraksi pada konsert mingguan pertama dengan menyaksikan peserta, Epiit dari Taiping, Perak menjadi peserta pertama yang tersingkir.

