Namanya mungkin tidak segah Johan, Zizan, Man dan Angah yang lahir daripada program realiti Raja Lawak.
Namun, dalam ribuan peserta yang hadir untuk uji bakat Raja Lawak 5, Elly atau nama sebenarnya Sarimah Mohd Daud, 31, antara 12 peserta yang layak mara ke pentas dengan duo, Kami, bersama Zarina Mohd Nor.
Suatu ketika dahulu, hasratnya untuk berkecimpung dalam industri seni pernah dibantah keluarga, lebih-lebih lagi ibunya, Rogayah Mohd Lazim.
"Saya memang larang dia, jangan pergi. Saya risau kalau ada sesuatu yang terjadi kepada Elly. Maklumlah, dia perempuan.
"Tetapi, dia degil, nak pergi juga. Siap cabar saya lagi yang dia akan buktikan kepada saya, dia akan berjaya dalam industri yang telah lama diminatinya.
"Walaupun berat hati, terpaksa juga lepaskan dia. Alhamdulillah, dia berjaya buktikan kepada saya dan keluarga yang dia boleh jaga diri. Pun begitu, saya tidak putus-putus memberikan nasihat," kata ibu kepada lima anak ini.
Sebalik nama Sarimah
Menurut Rogayah, nama sebenar Elly bukan sekadar nama pilihan biasa kerana itu adalah kehendak bapanya, Mohd Daud Awang, 71.
"Dulu, suami saya bekerja di Singapura. Dia ditugaskan untuk menemani seniwati terkenal, Datuk Sarimah Ahmad, yang ketika itu sedang giat berlakon.
"Oleh kerana berada bersama Sarimah hampir setiap masa, suami saya turut meminati seniwati jelita itu.
"Kebetulan pula, saya mengandung ketika itu dan dia terus meminta agar anak itu nanti diberikan nama Sarimah," katanya yang bergelar suri rumah sepenuh masa.
Selain Elly, Rogayah dikurniakan empat lagi cahaya mata, Mohd Raffie, Nor Akma, Mohd Sharip, dan Nor Aishah.
Raja Lawak platform terbaik
Mengintai peluang sebagai pelawak, Elly mengakui sikap komedi itu sedikit sebanyak melekat dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.
Menurut Elly, dia suka bergurau dan berjenaka dengan rakan-rakannya.
Kebetulan pula, Astro memperkenalkan program realiti itu untuk mencungkil bakat pelawak.
"Sebelum menyertai Raja Lawak 5, saya memang dah mula berlakon. Tetapi, nama saya masih tidak dikenali ketika itu.
"Saya pun tidak sangka, ketika uji bakat, saya tersenarai sebagai peserta yang layak. Tapi, cabarannya sangat besar kerana setiap minggu saya harus tampil dengan pelbagai lawak jenaka.
"Tidak dinafikan, Raja Lawak merupakan platform untuk saya membina nama. Walaupun tidak bergelar juara, namun rezeki saya mula bertambah sejurus menyertai rancangan realiti itu," katanya yang menjadi peserta ketiga tersingkir dari gelanggang Raja Rawak 5.
Walaupun lebih sinonim dengan watak komedi, namun jauh di sudut hati Elly mengimpikan watak yang lebih mencabar.
Menurut Elly, dia teringin untuk memegang watak aksi dan lasak kerana ingin mencabar kebolehannya.
"Kalau boleh, saya nak watak aksi yang ada babak peperangan dan pergaduhan.
"Lagipun, ketika di kampung, saya ada belajar seni silat gayung Pattani. Mungkin ia boleh dipraktikkan dalam watak aksi," katanya yang bakal muncul menerusi drama RTM, Lukanya Seorang Perempuan dan Ini Harta Aku Punya, di Astro Warna.
'Dipancin g' penerbi t
SEBAGAI pelakon yang sedang meningkat naik, terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa ditempuhi.
Menurut Elly, bukan sahaja cabaran untuk bersaing dengan muka-muka baru yang berbakat, malah dirinya terpaksa berdepan dengan pihak penerbit dan pengarah yang cuba 'memancingnya' dengan cara bertentangan.
"Tidak dinafi kan, Elly pernah mengalami perkara sebegitu. Ada penerbit yang cuba mengambil kesempatan, namun Elly tidak akan tersilap dalam menilai apa di sebalik kelakuan mereka.
"Elly percaya, bukan Elly seorang, malah ramai artis yang mengalami perkara sama. Inilah salah satu cabaran yang perlu kita tangani.
"Elly tidak mahu dikenali dengan cara begitu. Biarlah ia disusuli dengan usaha Elly sendiri. Lagipun, Elly tidak mahu terjebak dalam kes sebegini sehingga mengecewakan keluarga," katanya yang tidak mengharapkan jalan singkat untuk berjaya.
Bukan sahaja berlakon, malah Elly optimis mengembangkan karier seninya melalui cabang lain termasuk nyanyian.
Bakal muncul dengan single pertama, Ketepi Ketengah, Elly mempertaruhkan genre komedi.
"Insya-Allah, selepas raya nanti, single ini akan menemui peminat. Elly berharaplah agar single ini berjaya. "Dalam single ini, Elly hanya nyanyi secara bersahaja dan santai kerana konsepnya jenaka.
"Elly memang minat menyanyi dan jika ada tawaran secara serius untuk menyanyi selepas ini, mungkin Elly akan menyertai kelas untuk belajar vokal," katanya yang turut membantu rakan rapatnya, Keena Mentor, berniaga di bazar Ramadan.
No comments:
Post a Comment