Wednesday, July 25, 2012

Artis & Bazar : Emma Akma Hampir Patah Semangat


Walaupun sedang sibuk menjalani penggambaran telemovie, ‘Vanilla Coklat Raya’ untuk siaran di TV3, namun pelakon Emma Akma tetap meluangkan masa berniaga sepanjang bulan Ramadhan ini. Emma yang membuka gerai ayam percik di Bazar Ramadhan Bukit Jalil merupakan antara salah seorang ahli Barisan Artis Nasional (BRAN) di bawah Presiden Dato’ AC Mizal yang menjalani perniagaan di situ.

“Bila BRAN buka peluang kepada artis untuk berniaga di sini, ia sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi hubungan kami sesama artis. Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada artis untuk menjana pendapatan lebih sekaligus berjaya dalam bidang perniagaan,” ujar Emma ketika ditemui di Bazar Ramadhan yang terletak di Parking F, Stadium Hoki Bukit Jalil, petang semalam.

“Ini kali pertama Emma berniaga ayam percik di bazar Ramadhan. Alhamdulillah sambutan okay dan Emma terharu kerana ada orang yang sanggup datang dari Kedah dan Pahang untuk membeli ayam percik Emma. Mereka tahu gerai ayam percik inipun bila Emma war-warkan dalam Facebook Emma,” ujar Emma mengakui hampir patah semangat pada awal perniagaan.

“Awal Ramadhan, dalam hari pertama hingga ketiga, sambutan memang sangat kurang. Emma sendiri hampir patah semangat namun Emma berpegang dengan prinsip, hendak seribu daya. Emma anggap ini semua dugaan namun Alhamdulillah, sambutan sekarang, semakin hari semakin bagus.”


Bercerita mengenai ayam percik yang dijualnya, Emma memberitahu, “Ayam percik ini merupakan resepi saudara-mara Emma sendiri. Kebanyakan yang dah rasa semuanya puas hati dan mereka cakap kuah ayam percik Emma pekat, tak pedas dan tak manis sangat. Harga ayam percik RM 3.50 seketul dan jika beli 3 ketul hanya RM 10.00. Di gerai Emma juga ada jual ‘Shoya Shempoi’ iaitu air soya yang dicampur dengan ‘pearl’ dan air gula biru.”

Dalam perkembangan lain, Emma yang baru saja selesai menjalani penggambaran telemovie, ‘Duit Kau, Duit Aku’ kini sedang sibuk menjalani latihan teater, ‘Ambang Merdeka’ yang bakal dipentaskan di Perak pada malam 31 Ogos depan.

No comments:

Post a Comment