Memasuki bulan Ramadan tahun ini lebih bermakna buat penyanyi Ana Raffali yang pertama kali menyambutnya dengan suami Ahmad Aznaim Abdullah (Naim). Ana, 26, sebgagai berkata sambutan Ramadan tahun ini menjadi lebih manis kerana dirinya yang telah memasuki alam perkahwinan memberikan motivasi kepada mereka untuk mempertingkatkan ibadah.
“Alam perkahwinan membuatkan kami lebih bersemangat untuk meningkatkan ibadah. Lebih manis lagi apabila kami dapat menunaikan solat tarawih bersama-sama di masjid yang menjadi lokasi pernikahan pada Februari lalu,” katanya.
Ana dan Naim, 30, bernikah pada 25 Februari lalu di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dekat sini.
Berkongsi lebih lanjut mengenai pengalaman berpuasa pada tahun ini, Ana berkata, dia masih belum berkesempatan untuk makan atau masak di rumah kerana memenuhi undangan berbuka puasa di rumah ibunya, keluarga mertua dan saudara-mara.
Ana dan suami merangkap pengurusnya, Naim pada hari pernikahan mereka 25 Februari lalu.
“Saya masih belum sempat masak apa-apa untuk suami lagi kerana kami sibuk berkunjung ke rumah ibu saya, mertua dan saudara-mara yang lain. Lagipun kami hanya berdua, lebih senang kalau makan di luar.
“Sambutan Ramadan kali ini membuka ruang untuk saya memperbaiki kekurangan dan kealpaan saya pada ibadah selama ini. Saya anggap keputusan untuk bertudung beberapa bulan lalu mempunyai hikmah yang besar.
“Saya bersyukur kerana dapat kesedaran itu. Sekurang-kurangnya, pada Ramadan ini saya dapat perbanyakan ibadah kerana kami memang kurangkan jemputan nyanyian buat masa ini,” katanya.
Terbaru, penyandang trofi Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) ini berkata, dia merancang untuk mengeluarkan lagu terbaru berjudul Jauh Ke Syurga bersempena Ramadan ini.
“Ia boleh dianggap lagu berkonsepkan ketuhanan tetapi berkisar mengenai cinta dan doa manusia. Sekarang saya masih menyiapkan proses akhir lagu itu dan diharap ia dapat disudahkan dalam masa sehari dua.
“Banyak pembaharuan pada aspek muzik dan vokal cuba saya ketengahkan. Saya berharap peminat dapat melihat kematangan dan peningkatan kerja saya apabila ia keluar nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment