Menerusi kelab Riders & Rempit United, sebuah gabungan persatuan, geng-geng dan kumpulan bermotosikal Malaysia juga bersama pelakon popular, Adi Putra dan Sari Yanti berganding bahu mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada umat Islam sempena sambutan bulan Ramadhan kali ini.
Majlis pengagihan bubur lambuk percuma yang diadakan di Kedai Pak Hassan Nasi Lemak, Kampung Baru, petang semalam ini menyaksikan masyarakat di sekitar kawasan tersebut mula beratur seawal 1.00 petang untuk mendapatkan bubur lambuk yang cukup popular di kawasan Kampung Baru itu.
“Ia mungkin nampak kecil di kaca mata sesetengah orang, namun bagi kumpulan yang sering dipinggirkan seperti Mat Rempit, ini adalah satu inisiatif yang cukup signifikan dan besar. Program ini bukan saja berlangsung di sini, malah kami turut mengagihkan 50,000 bubur lambuk secara serentak di beberapa kawasan sekitar Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Perak.”
Walaupun sibuk dengan penggambaran filem Balistik terbitan Suhan Movies, ikon program Evolusi R, Adi Putra tetap meluangkan masanya mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.
“Sambutan memang hebat, luar biasa dan meriah sekali. Bayangkan, walaupun pengagihan bermula jam 4.00 petang, namun orang ramai sudah mula beratur seawal 1.00 petang untuk mendapatkan bubur lambuk ini. Dengan acara sebegini, ia sekaligus dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia.”
Bagi pelakon Sari Yanti pula, “Saya rasa teruja kerana ini kali pertama saya melakukan aktiviti sebegini. Walaupun trafik teruk, namun ramai orang sanggup beratur untuk mendapatkan bubur lambuk ini. Bagi Sari, ini satu aktiviti yang bagus untuk kita sebagai selebriti dalam melakukan kerja amal serta menyumbangkan tenaga dalam bulan yang mulia ini.”
Riders & Rempit United atau Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersatu Malaysia yang ditubuhkan pada tahun ini sudah mempunyai ahli yang berdaftar sebanyak lebih 200 000 orang. Selain Adi Putra dan Sari Yanti, duta program Evolusi R yang lain termasuklah Nora Danish, Shaheizy Sam, Nabil dan bekas pelumba GP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.
No comments:
Post a Comment