BERBAKAT...Tasha bertuah dan bersyukur kerana berpeluang berada dalam keranda dan liang lahat |
TERJUN ke layar perak pastinya menjadi impian ramai pelakon. Ramai yang mahu jadi pelakon popular tetapi tidak semua meraih peluang berlakon filem.
Berbeza dengan rezeki diterima pelakon baru, Tasha Shilla, perjalanan seninya bermula menerusi filem nampaknya kurang diberi perhatian. Sebaliknya, fokusnya kini lebih tertumpu kepada lakonan drama TV. Katanya, dia mula berjinak dengan bidang seni sejak di usia 17 tahun menerusi peragaan majalah.
"Saya terlebih dulu berlakon drama bersiri, Dottie sebelum mendapat tawaran membintangi Gemilang yang kini masih ditayangkan di TV3.
"Nyata, drama kedua saya bersama pengarah Kabir Bhatia mendapat sambutan positif penonton. Dalam drama ini, saya membawakan watak Cikgu Ruhana yang tidak putus asa menagih cinta Cikgu Saiful (lakonan Shah Jaszle) hingga sanggup mempergunakan Cikgu Umar (Kamal Adli) untuk mendapatkan cinta lelaki itu.
"Saya bertuah kerana drama ini menampilkan saya sebagai pelakon utama bersama Shah, Kamal dan Tiz Zaqyah. Selepas Gemilang, saya meraih pula tawaran berlakon dua telefilem Panggilan Arwah yang turut memberi peluang saya membawa watak utama bersama Zizan Nin.
"Pengalaman dalam telefilem ini juga mencabar apabila saya perlu menghayati watak Sabariah yang menjelma menjadi hantu yang tidak tenteram perasaan dan mahu membalas dendam.
"Memberi pengalaman baru, saya diminta berlakon dalam keranda termasuk berada dalam kubur. Ketika melakonkan adegan di liang lahad itu, saya menggambarkan perasaan sedih dan menangis secara tiba-tiba jatuh pengsan," katanya ketika ditemui pada penggambaran drama Sahara arahan Jamal Khan di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Katanya, drama arahan Faizal Ishak itu membabitkan 80 peratus adegan dalam kubur dan penggambaran dijalankan selepas Maghrib sehingga awal pagi.
Untuk telefilem kedua, Mila Kejar Cinta, Tasha terus diberi kepercayaan membawa watak utama, Mila menampilkan karakter gadis manja dan anak orang berada yang kemudian percaya cintanya sama seperti novel yang sering dibacanya. Lakonannya kali ini menggandingkan dia bersama Zack X-Factor.
Melihat pada pembabitan dua filem dan lima drama termasuk Sahara dalam usia pengalaman lakon masih setahun jagung, Tasha boleh berbangga dengan pencapaian sendiri sebagai bakat baru yang pantas mencipta nama.
Tasha berkata, dia tidak mahu tamak dengan tawaran yang diterima. Sebaliknya, mahu memberi fokus satu kerja pada satu-satu masa.
Ketika ini Tasha masih sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Sahara ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam. Drama sebanyak 25 episod menyaksikan Tasha membawa watak Hartina yang cemburu terhadap kakaknya, Sahara (lakonan Nanu Baharudin).
"Sebulan lalu, saya ada mendapat tawaran berlakon sinetron bersama satu produksi Indonesia yang sepatutnya menjalani penggambaran di Jakarta. Namun, saya terpaksa menolak tawaran itu kerana jadual penggambarannya bertindih pula dengan Sahara.
"Sejak terbabit dengan Gemilang pada Disember tahun lalu, sampai sekarang saya belum ada masa berehat. Selepas ini ada juga tawaran drama baru yang saya terima.
"Apapun, saya bertuah dan bersyukur dengan rezeki yang diterima tidak putus-putus. Secara peribadi, saya selesa berlakon drama mahupun filem. Apa yang penting, saya gembira dengan kerja yang saya lakukan.
"Jika ada peluang lain selepas ini, saya mahu membawa pelbagai karakter berbeza yang lebih berat dan mencabar diri. Saya tidak suka watak komedi tetapi saya terbuka mencuba watak baru.
"Begitu juga, saya berhasrat bekerja dengan pengarah hebat lain seperti Murali Abdullah mahupun Kabir sekali lagi. Mungkin dalam sibuk berlakon drama, saya tetap meletakkan impian berlakon sekurang-kurangnya dua filem setahun," katanya.
>PROFIL
NAMA: Natasha Sheila Abd Razak
NAMA KOMERSIAL: Tasha Shilla
ASAL: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 25 Januari 1987
USIA: 24 tahun
KERJAYA: Model dan pelakon
FILEM: Ratu The Movie dan Klik 3GP
DRAMA: Dottie, Gemilang, Panggilan Arwah, Mila Kejar Cinta dan Sahara
No comments:
Post a Comment