Wednesday, January 18, 2012

Sah! Qi, Suara Lelaki Dalam Album Yuna (GAMBAR)


Sudahkah anda memiliki album terbaru Yuna, ‘Terukir Di Bintang’? Kalau sudah, pasti ada yang tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki yang turut menyanyi dalam lagu ‘KL Kita’ bukan? Adakah benar ia dinyanyikan oleh Qi atau ia sekadar milik penyanyi latar yang tidak dikenali? Peluang bertemu Yuna di GUA StarChat memberi ruang kepada GUA untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Setelah didesak beberapa kali, penyanyi ini akhirnya mengaku suara itu adalah milik kekasih hatinya, Qi.

“Lagu ‘KL Kita’ itu adalah ciptaan saya bersama Qi, sebab itu saya mahu dia nyanyi bersama-sama. Mula-mula memang Qi tak mahu, tetapi akhirnya dia setuju juga setelah saya desak beberapa kali. Untuk rekod bahagian dia, ambil masa tak lama pun, kira-kira dua jam sahaja,” ujar Yuna membuka cerita.

Album kedua Yuna memuatkan lapan buah lagu kesemuanya iaitu, Terukir Di Bintang, KL Kita, Memo, Sparkle, Photo of You, Coffe, Someone out Of Town dan Fears And Frustration.

Menyentuh tentang persiapannya ke Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL 26), Yuna tanpa berselindung mengakui dia memberi lebih tumpuan kepada lagu ‘Gadis Semasa’ berbanding ‘Penakut’. Ini kerana dia tidak mahu ‘Gadis Semasa’ kedengaran lebih kurang sama dengan persembahan-persembahannya sebelum ini.

“Berbanding ‘Penakut’, ‘Gadis Semasa’ adalah lagu yang sering saya nyanyikan ketika membuat persembahan. Sebab itu, saya beri lebih tumpuan kepada ‘Gadis Semasa’ untuk susunan dan skor muzik. Kalau boleh saya tidak mahu lagu itu kedengaran lebih kurang sama macam yang pernah dipersembahkan sebelum ini. Saya mahu peminat mendengar sesuatu yang berbeza.


Tapi ini bukanlah bermakna saya abaikan ‘Penakut’. Persiapan untuk ‘Penakut’ tetap saya buat. Cuma tidak banyak perubahan dilakukan ke atas lagu ini. Lagipun, saya yakin peminat lebih suka dengan susunan muzik asal ‘Penakut’,” ujar Yuna yang akan menggayakan busana rekaan Syomir Izwa dan Shahril pada malam kemuncak AJL 26 nanti.

Tentang konsep persembahannya pada malam itu, Yuna memberitahu dia memilih sebuah persembahan yang ringkas dengan memberi tumpuan kepada nyanyian dan persembahan muzik. Jelas Yuna, dia tidak suka dengan persembahan yang mempunyai pelakon atau penari yang boleh mencuri tumpuannya ketika berada di atas pentas.

“Saya rasa peminat sudah boleh tahu bagaimana corak persembahan saya nanti. Saya memang tidak akan menggunakan penari mahupun pelakon untuk sama-sama berada di pentas. Saya sukakan persembahan yang ringkas dan tidak ada gangguan.  Paling penting, lagu yang dipersembahkan itu sampai kepada pendengar. Susunan muzik dan vokal adalah keutamaan saya, “ ujar Yuna mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment