Lebih 1.2 juta penonton menjadi saksi kepada ketentuan Tuhan terhadap sikap kejam Puan Sri Waheeda terhadap madunya Karmila menerusi dua episod kemuncak drama Karma yang disiarkan pada 9 dan 10 Januari yang lalu. Drama bersiri slot Ratu ini berakhir dengan hukum karma mengambil tempatnya - baik dibalas baik, jahat dibalas jahat.
Drama 14 episod ini membariskan nama-nama besar dalam arena hiburan tanahair, jalan cerita yang diwarnai konflik dan plot yang tidak dapat diduga. Kualiti produksi yang bermutu tinggi hasil pengarah dan juga penerbit iaitu Erma Fatima merupakan antara sebab kejayaan Karma.
Karma menyaksikan derita Karmila, isteri kedua kepada Tan Sri Fahrul Sani (Dato’ Ahmad Tarmimi) yang dibenci oleh madunya Puan Sri Waheeda dan anak perempuannya Wafida (Sharifah Aleya). Hidup Karmila lebih menderita setelah suaminya meninggal dunia dan anak tirinya, Qayyum (Aaron Aziz) telah jatuh cinta kepadanya.
Dalam episod-episod terakhir, Qayyum telah meninggalkan rumahnya kerana malu dengan sikap ibu dan adiknya, Wafida (Sharifah Aleya) yang bagaikan sudah hilang kewarasan sebagai seorang umat Islam. Muncul pula adik Tan Sri Fahrul, Ustaz Haikal (Fizz Fairuz), untuk menyelamatkan keadaan dan memenuhi amanat abangnya untuk menjaga keluarganya. Ditambah lagi dengan isteri Ustaz Haikal yang ikhlas memujuk Karmila untuk menjadi isteri kedua Ustaz Haikal. Karma berakhir dengan Puan Sri Waheeda mengerjakan solat Taubat di Kota Mekah dan memohon maaf kepada Karmila di atas segala yang telah berlaku.
Berahirnya Karma, bermakna bermulanya Ariana Mikhail yang memaparkan kisah cinta berlatarbelakangkan kota Paris dengan barisan pelakon popular Nora Danish, Syed Hussein (Sein), Riezman Khuzaini dan ramai lagi. Drama ini akan menemui penonton setia slot Ratu mulai 16 Januari, setiap Isnin dan Selasa, 8.30 malam.
No comments:
Post a Comment