Monday, December 12, 2011

Mawi : Populariti setiap artis adalah peranan media (32 GAMBAR)


KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER 2011: Sebelum ini, isu populariti juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi sudah tidak popular dan hilang peminat pernah diperkatakan.

Namun, segalanya ditinggalkan begitu saja setalah mendengar Mawi melafazkan hasrat untuk terbabit di belakang tabir.

Bagaimanapun, status populariti pelantun Aduh Saliha kembali diperdebatkan dan menjadi bahan bacaan utama masyarakat pada hujung minggu lalu.

Menerusi akhbar sisipan Berita Minggu, Bintang Popular dalam kolum Tanya Sikit, Mawi sekali lagi menjelaskan lebih terperinci akan hal tidak popular yang sering dilontar terhadap dirinya itu.

Dalam laporan berkenaan, Mawi mengakui populariti seseorang artis tertakluk kepada sokongan peminat. Malah, anak kelahiran Felda Taib Andak turut memberitahu peranan media cetak dan elektronik mempunyai pengaruh besar dalam hal sebegini.

Apa sekalipun, Mawi menganggap situasi yang berlaku ini sebagai asam garam yang perlu ditempuhi artis.

Mawi juga turut menasihati sesiapa saja yang bergelar artis untuk bersiap sedia menjalani tempoh masa seperti ini.

Dalam pada itu, Mawi turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang melabelkan dia sebagai seorang yang kurang mendapat undangan persembahan.

Sebaliknya, Mawi menegaskan dia masih menerima banyak jemputan untuk menyanyi tetapi tidak mendapat hebahan seperti dulu yang dikecapinya dalam meniti populariti sebagai juara AF3.

Sementara itu, melalui laporan Metro Ahad, Mawi ternyata sedang gembira menanti kelahiran anak sulungnya tidak lama lagi.

Menerusi laporan berkenaan, Mawi memberitahu Ekin sedang hamil tujuh bulan dan tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

Mawi turut memberitahu, Ekin dihantar pulang ke Johor Bahru selama tiga bulan demi menjaga kandungannya itu memandangkan Ekin pernah dua kali keguguran.

Dalam kegembiraan menanti kelahiran anak sulungnya itu, Mawi yang berahsia jantina anak kerana mahukan kejutan turut menjawab pertanyaan rezekinya yang dilihat semakin surut.

Pengakuan tersebut tertulis bahawa Mawi tidak menafikan undangan sudah semakin kurang. Pun begitu, apa yang diperolehnya setakat ini cukup buat dirinya menampung kelangsungan hidup.