PENYALAHGUNAAN identiti seseorang individu untuk tujuan-tujuan tertentu seperti permohonan membuat pinjaman kewangan bukanlah suatu perkara yang asing di negara ini.
Namun begitu, tidak ramai individu yang menjadi mangsa mahu membuat aduan menyebabkan kejadian sebegitu dilihat semakin berleluasa dan turut membabitkan kerugian sehingga jutaan ringgit.
Menyedari namanya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Fizo lantas membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Sukarelawan Peguam (SukaGuam) agar masalah yang dialaminya itu dapat diselesaikan segera, yang mana peguam yang mengendalikan kes Fizo ialah Datuk Datuk Khairul Anwar Rahmat. Berikut temu bual pelakon filem Kongsi itu bersama Kosmo!.
Kosmo!: Boleh ceritakan apa yang sebenarnya berlaku?
Fizo : Pada tahun 2008 yang lalu, seorang kenalan telah mengajak saya untuk menjadi rakan kongsi kepada penubuhan sebuah syarikat percetakan. Memandangkan tiada sebarang pelaburan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerima pelawaan rakan saya itu.
Selain menjadi rakan kongsi, saya turut dilantik sebagai Pengarah Urusan dan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah. Namun, sepanjang bersama dengan syarikat tersebut saya langsung tidak pernah dibayar walau satu sen pun.
Berapa lama anda bersama syarikat berkenaan?
Saya tidak pasti tentang tempoh, tetapi apa yang saya ingat penyertaan saya bersama syarikat itu bermula pada awal tahun 2008 dan hanya beberapa bulan selepas itu saya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan.
Walaupun sudah tidak lagi terbabit dalam segala pengurusan syarikat, nama saya masih lagi dikekalkan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah. Cuma saya tidak sangka nama saya telah digunakan untuk menjadi penjamin dalam pinjaman sebanyak RM8 juta tanpa pengetahuan saya.
Sejak bila anda tahu nama anda digunakan sebagai penjamin untuk permohonan pinjaman tersebut?
Ketika diberitahu tentang perkara tersebut, sudah tentu saya sangat terkejut kerana langsung tidak tahu menahu bahawa nama saya telah disalahgunakan. Apa yang boleh saya katakan adalah saya sudah menjadi mangsa penganiayaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Adakah anda mendapat surat peringatan tentang bayaran pinjaman tersebut daripada pihak bank?
Setakat ini saya hanya mendapat panggilan daripada pihak bank yang meminta saya menjelaskan bayaran pinjaman tersebut kerana saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa surat peringatan hanya diserahkan kepada pihak syarikat yang membuat pinjaman tersebut.
Adakah anda pernah menandatangani sebarang dokumen semasa bersama syarikat tersebut?
Saya memang tidak ingat kerana perkara itu sudah pun berlalu tiga tahun yang lalu. Cuma apa yang agak menghairankan apabila pihak bank sewenang-wenangnya boleh meluluskan pinjaman tersebut tanpa kehadiran saya sebagai penjamin.
Kenapa ambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan masalah yang anda alami?
Seboleh-bolehnya saya mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik dan tidak mahu terlalu kecoh. Pada mulanya saya ada cuba berbincang dengan pihak syarikat tersebut supaya menjelaskan perkara sebenar, tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik sehinggalah syarikat itu tidak lagi wujud.
Ada buat laporan polis?
Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan saya hanya meminta bantuan peguam di SukaGuam untuk menyelesaikan masalah ini.
Bagaimana kelulusan pinjaman tersebut boleh diberikan sedangkan anda tidak menandatangani sebarang dokumen berkaitan?
Ketika saya menceritakan masalah ini,pihak peguam mengesyaki kes saya mungkin ada berkaitan dengan elemen penipuan, meniru tanda tangan, penyalahgunaan nama atau komplot sindiket tertentu.
Apakah langkah anda selepas ini? Tak jumpa bank minta penjelasan dan selesaikan masalah ini?
Melalui perbincangan yang dilakukan bersama peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, kami akan berjumpa dengan pihak bank dan cuba meminta segala dokumen berkaitan permohonan pinjaman tersebut dalam tempoh dua minggu ini.
Adakah masalah yang dialami ini telah menjejaskan kerjaya anda sebagai seorang pelakon?
Saya akui apabila diberitahu tentang perkara tersebut memang ia sangat merisaukan saya dan serba sedikit kerja-kerja saya turut terjejas.
Apa terjadi kalau anda tidak menjelaskan bayaran pinjaman seperti yang dituntut pihak bank?
Kalau saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera, berkemungkinan besar saya boleh diisytihar muflis.
Nasihat anda kepada rakan-rakan artis yang lain?
Apa yang berlaku ini pastinya menjadi pengajaran yang sangat berguna supaya lebih berhati-hati selepas ini. Malah, saya mahu menasihatkan kepada rakan-rakan artis yang lain supaya tidak terlalu mudah menerima sebarang tawaran jika ada mana-mana pihak yang mahu menjadikan mereka sebagai rakan kongsi dalam sesebuah syarikat.
Sekarang ini anda ada terlibat dengan mana-mana bisnes?
Selain sibuk berlakon, saya juga ada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual makanan dan ia lebih kepada perniagaan keluarga. Lagipun saya sebenarnya seorang individu yang sangat minat berniaga.