KUALA LUMPUR, 6 DIS 2011: Hotlink hari ini mengumumkan kerjasama mereka bersama Yuna dalam merealisasikan konsert maya pertama bersama penyanyi wanita popular itu.
Konsert yang dinamakan Hotlink's People Power Concert, hanya memerlukan penonton membuat tempahan di laman www.nowyoucan.my/yuna dan hanya terbuka kepada 10,000 pendaftar pertama.
Penonton yang telah membuat tempahan boleh mendaftar masuk bermula dari jam 7 petang sehingga 7.59 petang untuk menonton secara eksklusif konsert berkenaan.
Ketua Bahagian Produk, Peralatan, Inovasi dan Perantauan Maxis, T. Kugan berkata pihaknya begitu teruja untuk menganjurkan konsert berkenaan yang nyata sesuai dengan tagline syarikat prabayar berkenaan, 'Now You Can'.
"Yuna dengan sukacitanya memberitahu bahawa dia telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek ini dalam mempersembahkan sebuah konsert yang boleh ditonton eksklusif secara online. Konsert ini adalah khas buat peminat-peminatnya yang secara tak langsung juga merupakan pelanggan utama Hotlink .
"Kami juga berharap projek ini dapat diperluaskan lagi bukan sahaja untuk pelanggan Hotlink tapi turut meliputi pelanggan Maxis. Istimewa untuk pelanggan-pelanggan yang telah mendaftar ini, Yuna akan mendendangkan lagu-lagu terbaru yang masih belum dipasarkan kepada umum" ujar Kugan berkenaan projek usaha sama berkenaan.
Sementara itu menurut Yuna pula, ini adalah peluang keemasan untuk mendekatkan diri dengan komuniti online di mana mereka adalah kelompok pertama mengenali Yuna sebelum dia bergiat lebih serius dalam bidang mainstream.
"Saya teruja kerana diberi peluang sebegini oleh pihak Hotlink. Adalah sesuatu yang unik di mana saya akan membuat konsert secara langsung tapi penonton tiada di depan mata sebaliknya mereka melihat menerusi kamera online.
"Terdapat banyak perkara menarik yang akan didedahkan kepada penonton semasa konsert nanti dan perkara itu hanya akan diketahui oleh mereka sendiri yang menontonnya", jelas Yuna.
Melalui konsert yang akan diadakan pada 14 Disember itu, penonton online berpeluang memberi tajuk kepada single terbaru Yuna dan mungkin juga bakal melibatkan diri dalam video muzik lagu tersebut untuk kempen promosi single berkenaan.
Untuk ikuti konsert Yuna klik di sini : Hotlink Yuna Concert