Penyanyi yang juga merupakan juara bintang realiti, Akademi Fantasia, Shahir mengakui sedang sibuk menjalani proses penghasilan album bagi membalas jasa peminat-peminat yang selama ini banyak membantu kerjayanya.
Shahir yang selama ini sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk sering menghilangkan diri, mengakui proses mengumpul material ini sering terganggu dengan aktiviti-aktiviti luar, dan kini dia kembali untuk fokus pada penghasilan album ini.
“Untuk album ini, saya muatkan enam buah lagu yang mana tiga daripadanya adalah single saya yang pernah dimainkan di radio iaitu, Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Pendam dan Luar Biasa, dan tiga lagu lagi lagu baru adalah sentuhan daripada komposer, Kunci Demak, Sham Kamikaze dan saya sendiri.
“Tak dinafikan setelah dua tahun, saya masih belum mempunyai sebarang album. Sebenarnya perancangan album ini memang sudah dirancang sejak awal lagi, tapi ianya banyak terganggu dengan aktiviti-aktiviti luar.
“Saya rasa sekarang sudah tiba masanya untuk saya fokus, saya perlu memberikan sesuatu pada peminat-peminat saya yang selama ini banyak menyokong, mengundi dan memberikan kata-kata semangat,”jelas Shahir.
Bercerita tentang kontroversi yang tidak pernah putus-putus menghantui dirinya, jelas Shahir ada sesetengah kontroversi menjatuhkan maruah dirinya.
“Apabila kontroversi timbul, perkara ini akan merumitkan keadaan. Ada yang melibatkan maruah saya dan keluarga dan ia member kesan kepada kami.
“Tak dinafikan ada juga kontroversi sekadar mengusik, namun sekiranya ia menjejaskan kepercayaan keluarga pada saya, itu yang membuatkan saya sedikit terkesan.
“Saya lebih kepada menjaga hati keluarga, apa pun yang saya lakukan, keluarga adalah yang utama,”jelas Shahir.