Wednesday, November 23, 2011

"Saya Perlu Lebih Memilih Selepas Ini" - Lisa Surihani


Filem terbaru lakonan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM23, Lisa Surihani berjaya menyerlahkan keupayaan bakat lakonannya. Menerusi filem Ombak Rindu di bawah arahan Osman Ali, Lisa memegang peranan sebagai Mila Amylia, wanita yang begitu inginkan cinta dari Hariz lakonan Aaron Aziz.

Dalam filem tersebut, penonton dapat menyaksikan mutu lakonan Lisa yang berbeza. Tidak keterlaluan, penonton akan dapat merasakan kebenciannya terhadap Mila dan juga merasa kasihan pada nasib yang menimpa dirinya.

Mengulas lanjut proses Lisa menghayati watak tersebut, dia sedar akan ada penonton yang akan benci dengan Mila tetapi dalam waktu yang sama merasa kasihan padanya.

“Dalam kehidupan sebenar pun sememangnya wujud watak-watak yang tidak seratus peratus jahat dan tidak seratus peratus baik. Ia duduk di tengah-tengah. Mila salah satu contohnya. Dia tidak jahat tetapi dia cuma obses pada Hariz dan mengharapkan cinta dari Hariz. Itu yang membantu saya mendapatkan feel untuk watak tersebut. Saya kena faham sebenar-benarnya siapa Mila itu sebenarnya. Saya membaca novel tersebut dan juga mendapatkan pandangan dari pengarah untuk menyerlahkan lagi lakonan saya.

“Mila sebenarnya bukan watak antagonis keseluruhannya. Mungkin dari segi luaran penonton akan nampak sisi hitam watak tersebut tetapi dalam waktu yang sama ada sisi putih pada watak itu. Ia satu proses dan pengalaman yang menarik telah Lisa lalui sepanjang penggambaran filem ini.” ulas Lisa yang membaca novel Ombak Rindu sebelum menjalani penggambaran filem itu.

Sementara itu, Lisa turut memberikan komennya berkenaan pandangan penulis novel tersebut, Fauziah Ashaari yang tidak berpuas hati dengan hasil filem lakonannya itu.

“Saya hormati pandangan penulis novel tersebut yang kurang berpuas hati dengan adaptasi yang dilakukan. Namun ada juga penonton yang berkata apa yang ditampilkan oleh Lisa sama seperti dalam novel.

“Jangan lihat Ombak Rindu sahaja kerana setiap naskhah adaptasi dari novel ke filem sememangnya akan ada perbezaannya kerana pemahaman dan imaginasi setiap individu adalah berbeza. Filem sebesar Harry Potter dan Lord of the Rings pun tidak semua peminat novel tersebut menyukainya apabila diterjemah ke layar perak. Sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

“Baik pembaca setia novel Ombak Rindu atau pun yang tidak pernah membaca novel tersebut akan datang menonton filem ini dan selepas menontonnya mereka akan merasakan ia sebuah filem yang bagus dan mahu menonton lagi.”

Melihatkan mutu lakonan Lisa yang bertambah baik dalam filem ini berbanding filem-filemnya yang terdahulu, terdetik di hati GUA yang bakat Lisa dapat diserlahkan sekiranya membintangi produksi filem bukan terbitan MIG.

Timbul persoalan dengan taraf yang dimilikinya sekarang dan anugerah yang telah dimenanginya, Lisa sewajarnya lebih bersifat memilih untuk melibatkan dirinya dalam sesebuah produksi.

“Bila kita dalam bidang ini kita perlu rancang laluan kerjaya kita, lebih banyak berhati-hati dan sering memikirkan baik-buruk setiap keputusan kita dalam membina laluan kerjaya kita.

“Buat masa ini memang saya seharusnya memilih dan tidak terlalu mengambil mudah pada setiap tawaran yang diterima. Sejujurnya sebelum ini pun terlalu banyak faktor yang mempengaruhi setiap keputusan saya. Untuk itu, selepas ini saya akan cuba tekankan pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memilih untuk terlibat dalam sesebuah produksi.

Filem Ombak Rindu yang dibintangi oleh Aaron Aziz, Maya Karin, Bront Palarae dan ramai lagi bakal ditayangkan pada 1 Disember depan.