Monday, November 28, 2011

Petugas Majlis Perkahwinan Noraniza Idris belum terima bayaran? (GAMBAR)

Noraniza Idris marah sambil menafikan beliau masih berhutang.

Tanggal 29 September lalu, menyaksikan penyanyi, Noraniza Idris yang dikenali ramai dengan lagu-lagu berentak etnik kreatif mendirikan rumah tangga buat kali ketiga. Kali ini dengan seorang bilal masjid di Singapura, Jeffri Hudi.

Majlis pernikahan mereka yang berlangsung meriah itu diadakan sempena sambutan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 dan dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV) bersama Gerakan Belia 4B Negeri Johor.

Walaupun segalanya telah selesai dan berjalan lancar, majlis persandingan Ratu Pop Etnik itu di Plaza Angsana Johor Bahru, Johor, telah menjadi buah mulut segelintir pihak yang mendakwa petugas yang terlibat dengan perjalanan majlis tersebut tidak menerima bayaran.

Penyanyi yang mula mencipta nama selepas menyertai program Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1985 itu ketika diajukan dengan soalan tersebut, menafikan yang dia adalah artis yang dikaitkan dengan gosip tersebut.

"Majlis saya anjuran bersama NIPV dan Gerakan Belia 4B Negeri Johor. Segala urusan saya adalah dengan pihak pengurusan kedua-dua organisasi tersebut.

"Setakat yang saya tahu, tiada masalah yang timbul membabitkan pembayaran ataupun pengurusan kerana segalanya berjalan dengan lancar.

"Mungkin ada pembayaran yang dibuat sedikit lewat tetapi sudah dijelaskan. Saya tidak dengar pun sebarang kata-kata berkaitan dengan urusan pembayaran daripada dua pihak yang berurusan dengan saya," katanya.

Pelantun lagu Awalah Dondang yang pernah memegang teraju utama dalam filem Sayang Ibu pada tahun 1989 berkata, mungkin terdapat salah faham yang menyebabkan ada pihak yang cuba mereka-reka cerita bagi menjatuhkan maruahnya dan suami.

"Saya sudah berkecimpung dalam industri muzik selama 26 tahun. Pastinya saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memalukan diri sendiri seperti tidak membayar petugas yang telah berkhidmat ketika berlangsungnya majlis saya.

"Jikalau masih ada pihak yang tidak berpuas hati, saya cadangkan mereka ini tampil ke hadapan dan berbincang secara terus dengan saya bagi menyelesaikan kekeliruan yang mungkin berlaku akibat salah faham," katanya lagi.

Suami sokong karier seni

Kesempatan bertemu dengan penyanyi berumur 43 tahun itu pada majlis sidang akhbar program Santai Primadona Bersama Noraniza Idris, penulis sempat bertanya tentang kehidupan barunya bersama suami.

"Suami sentiasa menyokong karier seni saya dan beliau tidak mengenakan kongkongan untuk saya terus mengorak langkah dalam bidang seni.

"Beliau juga banyak memberi idea-idea bernas kerana tanpa disangka, beliau mempunyai skil pemasaran yang sangat baik dan bersesuaian dengan apa yang ingin saya tonjolkan.

"Saya bersyukur kerana mendapat seorang suami yang bukan sahaja memahami diri ini, tetapi juga membantu dalam mencapai impian dalam karier saya," tambahnya lagi.

Dalam usia perkahwinan yang baru masuk dua bulan, pasti ada yang ternanti-nanti apakah penyanyi kelahiran Kluang, Johor, ini sudah menampakkan sebarang tanda-tanda untuk menerima kehadiran seorang lagi ahli baru dalam keluarganya.

"Sehingga kini rasanya masih belum ada, saya mahu berikan fokus terlebih dahulu kepada program jelajah yang bakal berlangsung diseluruh Malaysia sepanjang tahun 2012 yang akan bermula dari Januari hingga Disember tahun hadapan," ujarnya.

Sebuah program Santai Primadona Bersama Noraniza Idris bakal diadakan di Hotel MSuite, Johor Bahru dan penyanyi tersebut bakal melancarkan single dari album terbarunya, Primadona yang akan berada di pasaran bermula Mei tahun hadapan.

Tempat adalah terhad kepada 350 orang dan bayaran RM200 dikenakan untuk dewasa dan RM99.00 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Sesiapa yang berminat, boleh hubungi talian 03-56212648, 07-5569276 atau layari laman web www.noranizaidris.com.