Friday, November 4, 2011

Najwa Latif maki & mahu saman wartawan


KUALA LUMPUR: “Saya tidak rasa masa depan saya dalam industri seni akan goyah disebabkan salah faham berlaku antara pengurus saya dengan wartawan,” kata penyanyi lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif, 16.

Itu penjelasan diberikan Najwa berhubung insiden membabitkan pengurusnya, Azahari Latif yang dikatakan memarahi wartawan stesen televisyen hanya kerana bertanyakan soalan peribadi kepadanya, minggu lalu.


Difahamkan, Azahari mengamuk dengan pertanyaan itu dan mengugut mahu menyaman wartawan di satu majlis promosi filem baru di ibu kota.

Najwa ketika dihubungi berkata, dia berfikiran positif dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ketika kejadian, dia tiada di lokasi.


“Apa yang mahu saya katakan, insiden itu tidak akan menenggelamkan nama saya kerana saya percaya yang lebih penting adalah bakat dimiliki,” katanya.



Menurut Najwa, dia tidak mahu soal peribadinya diketahui umum terutama sekali apabila ia membabitkan masalah keluarga berikutan mahu menjaga hati semua adik beradiknya.

Najwa ketika diajukan soalan mengenai klip video Cinta Muka Buku (CMB) yang kerap dirakamkan semula peminat, antaranya Cinta Muka Bulu dan Cinta Buku Lima tidak menganggap perkara itu seperti dipermainkan.


“Saya tahu peminat menyukai lagu CMB dan mereka terlebih dulu meminta kebenaran saya untuk menghasilkan semula klip video Cinta Muka Bulu. Bagi klip video Cinta Buku Lima saya masih belum melihatnya,” katanya.



Katanya, cara yang digunakan peminat adalah semata-mata untuk berhibur biarpun liriknya ditulis semula dalam bentuk yang berlainan. “Saya beranggapan kontroversi yang wujud mematangkan saya dan sebagai anak seni saya sedia menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.

No comments:

Post a Comment