Tuesday, November 1, 2011

Nadia diarah bayar RM50,000 pada Lisdawati (GAMBAR)


KUALA LUMPUR - Selepas enam tahun bertelingkah, kemenangan akhirnya berpihak kepada pelakon, Lisdawati apabila rakan artis, Nadia Mustafar diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini, supaya membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepadanya berhubung artikel fitnah mengenai kegagalan menjelaskan hutang di majalah Media Hiburan.

Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.
"Selepas meneliti hujahan dan keterangan pihak-pihak, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (Lisdawati)," katanya.
Lisdawati dan Nadia bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam dan mereka diwakili peguam masing-masing iaitu Sangeet Kaur Deo bagi Lisdawati manakala Nadia pula oleh Siti Julaini Mohd. Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob.
Pada 21 April lalu, Lisdawati memfailkan saman terhadap Nadia kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap dirinya.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan artikel berkaitan pada 8 hingga 14 Januari 2005.Hanif tidak dipanggil sebagai saksi kerana telah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa, artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia.

No comments:

Post a Comment