
Wilma Muhammad yang sudah bertudung itu akui, dia sendiri tidak pernah terfikir dan menyangka untuk kembali berlakon selepas 11 tahun meninggalkan dunia glamor.
"Selepas sahaja berkahwin dan memilih bertudung serta mendekatkan diri dengan Tuhan, saya mengambil keputusan untuk terus berhenti dari dunia lakonan.
"Biarpun selepas itu, saya menerima banyak tawaran berlakon, tapi saya tetap dengan pendirian untuk tidak akan berlakon dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
"Sehinggalah, pengarah filem 1945, Imran Ismail iaitu kawan lama saya datang kepada saya dan menawarkan filem ini.
"Saya hanya bersetuju untuk berlakon setelah meminta pendapat daripada ibu bapa dan anak-anak saya. Akhirnya selepas mereka bersetuju dan melakukan sembahyang istikharah, barulah hati saya terbuka untuk kembali berlakon," katanya.
Sungguh pun begitu, pelakon filem Ghazal Untuk Rabiah itu akui agak gementar untuk mula kembali ke dunia lakonan dan menjalani penggambaran yang dijangka bermula pada penghujung Disember ini.
"Saya sangat teruja untuk berlakon kembali. Walaubagaimanapun dalam masa yang sama saya rasa gementar juga kerana sudah lama meninggalkannya. Mungkin saya akan kekok apabila melihat banyak kamera yang memerhati nanti.

Wilma yang kini bergelar ibu tunggal kepada 5 orang anak sejak suaminya Mahir Effendi meninggal dunia pada Januari lalu, berkata, dia akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas melihat kredibilitinya dalam filem 1945 itu kelak.
"Selepas suami saya meninggal, memang sukar untuk saya mencari kekuatan, teutama untuk bangun dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak saya. Namun selepas mendapat sokongan padu dari keluarga dan rakan, saya bangun dan keluar mencari kerja tetap.
"Biapun ketika menjadi suri rumah, saya ada melakukan pernigaan kecil-kecilan. Namun bagi saya itu tidak cukup untuk saya bergantung kepadanya. Oleh sebab itu saya telah mengambil keputusan untuk bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Dalmar Hasil Sdn Bhd pada Julai lalu.
"Apa-apa pun saya akan pastikan anak-anak saya dijaga dengan rapi dan mendapat keperluan yang cukup daripada saya. Jadi mungkin saya akan berfikir untuk terus berlakon selepas ini jika filem pertama berjalan seperti yang dirancangkan, InsyaAllah," luahnya.
Selain Wilma, filem epik perang terbitan AAR Intelligent Sdn Bhd itu turut dibintangi pelakon Faizal Hussien dan Yang Kassim.