Wednesday, November 30, 2011

Kematian: Hanya perlu lapor sekali sahaja


Berkuat kuasa 1 Disember ini, orang ramai boleh melaporkan sesuatu kematian di mana-mana balai polis, hospital atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd. Said berkata, langkah inovasi baru itu selaras dengan kelulusan Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 39(h) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), baru-baru ini.

"Sebaik sahaja laporan itu diterima, pemaklum akan diberi satu salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN yang akan digunakan bagi urusan pengebumian jenazah.

"Serentak itu juga, laporan kematian tersebut telah diterima dan didaftarkan di JPN dan pemaklum hanya perlu hadir ke JPN bagi mendapatkan Sijil Kematian sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jariah berkata, kaedah baru itu akan dapat mengatasi kerenah birokrasi kerana pemaklum hanya perlu melaporkan sekali sahaja bagi sesuatu kematian untuk mendapatkan dua dokumen iaitu Permit Mengubur dan Sijil Kematian.

Beliau berkata, ia berbeza dengan prosedur sebelum ini yang memerlukan pemaklum membuat laporan kematian sebanyak dua kali iaitu di agensi pengesah kematian bagi mendapatkan Permit Mengubur dan membuat laporan kali kedua di JPN untuk memohon Sijil Kematian.

"Sehubungan itu, kami berharap inovasi baru itu dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan JPN mengemas kini Sistem Infomasi Rekod Kependudukan Negara melalui perkongsian maklumat di antara JPN dan agensi kerajaan yang lain, khususnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Perkongsian maklumat ini secara langsung dapat membantu SPR dalam usaha mengemas kini rekod kematian di dalam daftar pemilih secara dalam talian melalui Agency Link Up System (ALIS)," katanya.