YUNA menunjukkan foto-foto yang menjadi bidikan lensa kameranya semasa berada di New York.
MESKIPUN sibuk dengan proses rakaman lagu untuk album terbaharu, penyanyi yang lahir dari dunia internet, Yuna, 25, tetap tidak pernah lupa dengan hobi mengambil foto yang dicintainya.
Berkesempatan berada di Amerika Syarikat membolehkan dia mengembara ke beberapa bandar utama negara itu seperti San Francisco, Portland dan Seattle untuk melihat kehidupan di sana.
Gambar yang paling gemar dirakamkan lensa kamera Yuna ialah potret terutama wajah-wajah yang memiliki ciri-ciri unik atau berbeza dengan sifat-sifat yang selalu dilihatnya.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu, Dan Sebenarnya itu, dia biasanya akan menemui individu tersebut, memperkenalkan diri sebagai jurugambar dari Malaysia dan memberitahu tujuannya untuk merakam gambar.
“Setakat ini, kebanyakan orang di sana berfikiran terbuka dan membenarkan saya mengambil foto mereka,” katanya.
Selain itu, pemandangan dan siar kaki bandar-bandar di sana tidak terlepas daripada bidikan lensa Yuna.
Yuna merupakan artis yang amat dekat dengan gajet dan teknologi tambahan pula dia mula mencipta nama melalui laman YouTube ketika berumur 19 tahun.
Komputer riba
Gajet pertama yang dimilikinya adalah sebuah komputer riba pemberian keluarga ketika dia berumur 12 tahun. Sejak itu, dia menjadi begitu teruja dengan gajet dan ingin memiliki segala-galanya daripada pemain MP3 sehinggalah kamera.
Kini, hanya dua gajet yang akan Yuna bawa ke mana-mana iaitu kamera dan mesin pencetak. Sehingga kini, dia telah pun memiliki tiga buah kamera dan terbaharu adalah daripada jenis Canon EOS.
Foto-foto yang dirakam oleh Yuna akan dikongsi melalui fotoblog milikinya iaitu www.yunamusic.com.
YUNA mencuba pencetak baharu Canon sambil diperhatikan oleh Melvyn (dua dari kiri) semasa majlis pelancaran produk Canon di ibu negara.
Mesin pencetak pula begitu memainkan peranan penting dalam hidup Yuna kerana ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara, gajet itu benar-benar membantunya.
“Mesin pencetak saya ketika itu adalah Canon Pixma dan dengan gajet itulah saya mencetak semua kertas tugasan ketika belajar dahulu,” imbasnya lagi.
17 mesin pencetak
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai ditemui ketika majlis pelancaran 17 buah mesin pencetak baharu Canon di Hotel JW Marriott Kuala Lumpur.
“Canon menguasai pasaran sebanyak 57 peratus bagi pencetak inkjet pelbagai fungsi, 60.6 peratus pencetak inkjet fungsi tunggal dan 45 peratus pencetak laser,” terang Mevlyn.
Kesemua mesin pencetak yang diperkenalkan pada hari itu dibahagi kepada empat kategori mengikut skala penggunaan iaitu pejabat kecil pejabat rumah (soho), pejabat, rumah dan untuk golongan profesional.
Mesin pencetak keluaran Canon mempunyai beberapa ciri khas terkini yang membolehkan pengguna mengurangkan kehilangan tenaga ketika mencetak selain mudah digunakan, cepat dan bersifat ekonomik.
Selain itu, salah satu model yang dilancarkan, imageCLASS MF8380Cdw dilengkapi dengan kata laluan keselamatan untuk mencetak.