Monday, November 28, 2011

Ducati Panigale diiktiraf motosikal tercantik (15 GAMBAR)


Pengeluar motosikal terkemuka, Ducati yang turut agresif memasuki pasaran Malaysia, menyaksikan motosikal yang dilancarkan bulan ini, Ducati 1199 Panigale, berjaya meraih anugerah 'motosikal paling tercantik'.

Anugerah itu diraih melalui motosikal berkuasa tinggi, Ducati 1199 Panigale pada Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA ke-69 yang berlangsung di Milan, Itali.

Pemilihan motosikal itu dilakukan oleh lebih 13,800 peminat motosikal menerusi undian majalah motosikal Itali, Motociclismo.

Ducati dalam kenyataannya berkata, Ducati 1199 Panigale menerima undian tertinggi sebanyak 53.4 peratus diikuti MV Augusta F3 (17 peratus) manakala Husqvarna Nuda 900 R (tiga peratus).

"Anugerah itu telah disampaikan pada hari terakhir pameran yang turut menarik kunjungan kira-kira setengah juta peminat motosikal seluruh dunia sepanjang enam hari pameran tersebut berlangsung,'' kata Ducati.

Pemberian anugerah Motosikal Paling Cantik Dalam Pameran' kepada Ducati 1199 Panigale merupakan satu pengiktirafan kepada usaha inovatif dan pembangunan produk syarikat.

Motosikal tersebut telah direka dan dibina di Borgo Panigale, Bologna dengan enjin silinder berkembar 195 kuasa kuda (hp) dan seberat 164 kilogram.

Sebanyak tiga model Panigale dipamerkan pada pameran tersebut iaitu 1199 Panigale, 1199 Panigale S dan 1199 Panigale S Tricolore.

Panigale S Tricolore mempunyai kombinasi tiga warna iaitu merah, putih dan hijau yang melambangkan warna bendera Itali selain mempunyai tanda buatan Itali.

Ketiga-tiga model akan berada di pasaran seawal tahun depan.