Thursday, November 24, 2011

Along Raja Lawak Syukur Kelahiran Ahmad Danial


KUALA LUMPUR, 25 NOVEMBER 2011: Pelakon, Along Raja Lawak atau Muhammad Nizamudin Ahmad,28, akui kelahiran putera sulungnya, Ahmad Danial Muhammad Nizamudin ke dunia merupakan satu bukti kebesaran Allah yang pernah disaksikannya.

Menyaksikan sendiri bagaimana isterinya, Zila Seron atau Nur Azilah Seeron,22, melahirkan Ahmad Danial secara normal pada 12 November lalu, Along Raja Lawak memberitahu ianya satu pengalaman yang sungguh bermakna seumur hidupnya.

"Saya adalah orang yang bersama Zila ketika dia melahirkan Ahmad Danial. Jadi saya dapat melihat bagaimana seksanya Zila untuk melahirkan anak sulung kami.

"Saya tidak dapat menahan kesedihan bila terpaksa melihat Zila bersusah payah dalam menanggung kesakitan untuk melahirkan Ahmad Danial.

"Saya rasa amat sedih hingga mahu mengalirkan air mata kerana itulah kali pertama saya melihat Zila benar-benar sakit. Namun saya terpaksa menahan air mata itu daripada mengalir kerana mahu memberi sokongan kepadanya," katanya.

Ahmad Danial dilahirkan di Hospital An-Nur, Bangi Selangor pada jam 2.04 petang dan kelihatan sihat dengan berat badan 2.52 kilogram.

Tambah Along Raja Lawak lagi, selepas melihat keajaiban Tuhan maha kuasa itu, dia kini lebih mengerti serta menghargai pengorbanan seorang ibu yang melahirkannya.

"Bila melihat sendiri Ahmad Danial lahir, ingatan serta serba salah terhadap perbuatan saya kepada ibu selama ini terus terbit dengan tiba-tiba.

"Baru saya sedar bertapa besarnya pengorbanan seorang ibu waktu itu. Kini saya lebih menghargai ibu dan isteri saya,"luahnya yang ditemui selepas sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 25 (ABPBH 25), baru-baru ini.petang semalam.

Tambah Along Raja Lawak lagi, buat masa sekarang Zila yang masih dalam waktu berpantang bersama bayi mereka di kediaman orang tuanya di Johor.

Along yang akan berulang alik ke dari Kuala Lumpur dan Johor setiap hujung minggu akui amat gembira dan bahagia dengan kelahiran orang baru yang telah memberi sinar baru dalam rumahtangganya itu.

"Alhamdulilah, sehingga saat ini kami sudah dapat membiasakan diri dengan kehadiran orang baru. Saya terpaksa ulang alik ke sana kerana masih bekerja dan berurusan di Kuala Lumpur.

"Saya cepat rindukan Ahmad Danial. Setiap hari saya akan telefon menerusi video dengannnya. Ahmad Danial mempunyai satu perangai pelik dan hanya ada satu cara tersendiri untuk memberhentikannya daripada menangis, iaitu apabila mendengar saya memanggil namanya.

"Jadi Zila akan menghubungi saya menerusi talian video untuk saya memanggil namanya kerana selepas itu secara automatik dia akan berhenti menangis," tambahnya lagi.

Along yang kini bernaungan di bawah syarikat Metrowealth International Group (MIG) itu bakal muncul dalam filem terbaru, Adnan Sempit 2 selain dua filemnya yang sudah berada di pawagam iaitu Alamak Toyol dan Suatu Malam Kubur Berasap.