Wednesday, November 9, 2011

Along, Angah mantap bersama


PERTAMA kali digandingkan bersama menerusi filem Alamak Toyol! terbitan MIG Production, ternyata kombinasi dua bekas peserta pertandingan Raja Lawak musim pertama, Along Cham dan Angah mendapat pujian banyak pihak.

Gaya lakonan mereka yang penuh dengan jenaka mampu membuatkan para penonton bukan setakat ketawa, tetapi sekali gus turut menggamatkan ruang pawagam-pawagam di seluruh negara sejak ia ditayangkan 3 November lalu.


Menurut Angah atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim, Alamak Toyol! cukup penting kerana ia adalah filem pertama yang memberi peluang kepadanya dan Along melakonkan watak utama di bawah arahan Ismail Bob Hashim.

“Sebelum ini, saya hanya ditawarkan watak-watak kecil dalam filem dan drama. Saya bersyukur kerana bakat lakonan saya terutamanya dalam filem komedi seperti Alamak Toyol! ini mula mendapat perhatian ramai penonton.

“Saya rasa, ramai peminat yang mula melihat keberkesanan lakonan saya sewaktu melakonkan watak Ismat dalam filem Adnan Sempit 1,” ujarnya.

Pelakon, pelawak dan pengacara berusia 33 tahun yang melakonkan watak Fakhrul dalam Alamak Toyol! itu ditemui sebelum pratonton filem tersebut di pawagam MBO, Subang Parade, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Angah yang berbadan gempal berasa bertuah dengan peluang yang diberikan itu. Tetapi pada masa sama dia tidak menafikan terpaksa berdepan dengan banyak cabaran sewaktu berlakon dalam filem tersebut.

Misalnya, dia tidak dapat melupakan pengalaman dikejar anjing jenis German Shephard sewaktu menjalani penggambaran bagi salah satu adegan dalam filem itu pada tahun lepas.

Menurut Angah, biarpun terdapat penyelia dan pelatih anjing disediakan di lokasi yang membabitkan penggambaran adegan tersebut namun hakikat sebenarnya, dia benar-benar dikejar anjing garang itu.

“Saya melakonkan watak Fakhrul sedang dikejar seekor anjing garang. Memang anjing itu betul-betul mengejar saya. Bayangkan saya terpaksa lari lintang pukang dengan keadaan badan saya yang gemuk macam ini.

“Anjing itu pula hanya akan mengikut arahan tuannya. Kalau anjing itu menyalak, ia akan betul-betul menyalak.

“Risau juga saya semasa melakonkan adegan itu kerana takut kena gigit anjing. Ekoran itu, berbelas-belas adegan terpaksa diulang kerana masalah tersebut,” katanya sambil ketawa.

Jelas Angah, filem itu meninggalkan kesan mendalam kerana selepas empat tahun melibatkan diri sebagai artis, itulah filem pertama yang memberinya peluang memegang watak utama.

Katanya lagi, dia gembira bernaung di bawah pengurusan MIG sejak hampir setahun lalu kerana selain berpeluang berlakon, jadual kerjanya juga lebih teratur.

Along mahu jadi pengacara

Along atau nama sebenarnya Muhammed Nizamudin Ahmad berkata, dia begitu teruja berlakon dalam filem Alamak Toyol! kerana itu merupakan gandingan pertamanya melakonkan watak utama bersama Angah.

Along yang berlakon sebagai Kudin dalam filem itu berkata, Alamak Toyol! diharap membuka ruang kepadanya untuk terus bergandingan dengan Angah pada masa akan datang.

“Kalau boleh kami mahu berlakon bergandingan bukan sahaja dalam filem atau drama televisyen sahaja tetapi juga dalam bidang pengacaraan.

“Ramai orang kata, gandingan kami serasi. Kalau boleh, kami juga mahu serasi macam gandingan Johan dan Zizan Raja Lawak,” katanya terus terang.

Along berkata, rezekinya murah selepas mendapat tawaran berlakon Alamak Toyol!

Katanya, jadualnya juga sibuk sehinggakan dia terlupa bahawa isterinya, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga, Nur Azilah Siron, 23, atau lebih mesra disapa Zila, kini sedang sarat mengandung anak pertama mereka.

Oleh itu, dia mengakui tidak berpeluang untuk memikirkan apakah nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak yang bakal dilahirkan itu.

Justeru, pelakon dan pelawak berusia 28 tahun itu memberitahu, dia telah menyerahkan kepada pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah untuk memilih nama yang sesuai untuk bayi yang bakal dilahirkan pada penghujung bulan ini.

“Kami suami isteri sepakat dan bersetuju dengan nama pilihan Dr. Fazillah iaitu Ahmad Danial. Itulah cadangan yang diberikan oleh beliau kepada kami.

“Lagipun, saya dan isteri memang suka dengan nama Ahmad Danial kerana ia ada kena mengena dengan nama nabi atau pemimpin terkenal di zaman silam.

“Kalau tak silap saya, sekarang ini usia kandungan isteri saya sudah masuk 35 minggu di mana dia dijangka melahirkan bayi pertama kami pada pertengahan bulan ini atau selewat-lewatnya, hujung bulan ini,” katanya yang berkahwin dengan Zila pada Januari tahun lalu.

Afiq toyol yang menjadi

Alamak Toyol! bukan sahaja bersandarkan kepada jalan cerita yang kuat dan gaya komedi tersendiri tetapi kekuatan lakonan pelakon kanak-kanak, Afiq sebagai toyol turut memperkukuhkan lagi keseronokan menonton filem tersebut.

Tidak padan dengan badannya yang kecil, pemilik nama sebenar, Muhammad Afiq Izzuddin ini petah menyusun kata-kata dalam bicaranya bersama wartawan.

Memegang watak toyol yang tidak boleh bercakap, pelakon berusia 12 tahun ini tidak menafikan watak tanpa dialog itu begitu menguji bakat lakonannya dalam filem pertama yang dibintanginya itu.

"Bukan sahaja seluruh badan saya dicat dengan warna hijau, malah rambut saya pun dibotakkan juga.

“Memanglah pada mulanya, saya rasa agak keberatan untuk membotakkan kepala tetapi disebabkan saya minat dengan bidang lakonan maka saya relakan sahaja.

“Lagipun rambut boleh tumbuh balik,” katanya sambil ketawa kecil.

Afiq yang fasih berbahasa Inggeris, Mandarin dan Korea menyimpan hasrat untuk berlakon di samping Saiful Apek pada masa depan.

Menyentuh tentang pelajaran, Afiq mengakui, dia harus bijak mengimbangi antara bidang lakonan dengan pelajaran.

“Saya baru sahaja habis menjalani peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

“Ketika menduduki percubaan UPSR, saya mendapat 3A 2B. Jadi, saya berharap keputusan sebenar yang akan keluar nanti adalah lebih baik,” katanya optimis.

No comments:

Post a Comment