“Macam yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kami lebih selesa bercerita tentang karier lakonan berbanding kisah-kisah peribadi. Selain itu, saya dan Remy tidak mahu kecoh-kecoh kerana bimbang perhubungan kami tidak berpanjangan. Walaupun kami sudah mengaku bercinta, tetapi kami masih tidak bersedia untuk bercerita lanjut tentang perhubungan ini.
Cukuplah peminat tahu yang kami sedang berpacaran dan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Pengakuan ini berlaku tanpa dirancang. Ia berlaku dengan sendiri dan bukan atas desakan mana-mana pihak,” ujar Tiz yang enggan mendedahkan usia percintaannya dengan Remy.
Memandangkan sebelum ini Tiz dan Remy sangat berahsia tentang percintaan mereka, pengakuan yang dibuat Remy itu dilihat seolah-olah mereka mempunyai perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam sesebuah perhubungan. Persoalannya, benar atau tidak?
Memang saya dan Remy telah berjumpa dan berkenalan dengan keluarga masing-masing, tetapi tidak ada perbincangan ke arah pertunangan mahu pun perkahwinan. Tunggulah, jika ada jodoh dan sudah sampai masanya, pasti kami akan umumkan,” ujar Tiz mengakhiri perbualan.
Pasangan yang meraih populariti menerusi drama bersiri Nur Kasih ini mula digosipkan bercinta setelah ramai yang terserempak mereka berjalan berpimpinan tangan di luar set penggambaran. Kemuncaknya pada acara Moto GP Sepang 2010. Walaupun sering didesak untuk mengakui hubungan cinta mereka sebelum ini, baik Tiz mahupun Remy, masing-masing bertindak mengunci mulut.