Erra Fazira dan Umie Aida menggalas tugas sebagai penasihat Rosyam Nor dalam musim terbaru Pilih Kasih |
MASIH kekal popular, Erra Fazira diberi tugas sebagai penasihat kepada penerbit dan pengacara program Pilih Kasih (PK) Rosyam Nor untuk musim ketiga nanti.
Selain Erra, untuk melonjakkan populariti program tersebut yang bakal disiarkan di TV2, setiap Ahad, pukul 9 malam mulai 20 November ini, pelakon Umie Aida turut diberi tugasan yang serupa dengan Erra.
"Biar saya jelaskan di sini bahawa pemilihan mereka berdua sebagai penasihat saya adalah berdasarkan persetujuan semua pihak di samping kredibiliti mereka dalam industri seni tanah air.
"Selain itu, saya juga yakin dan percaya, baik Erra mahupun Umie, kedua-duanya mampu untuk menggalas tugas ini dengan baik," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Pilih Kasih musim ketiga di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, tambah Rosyam, bagi menyajikan sebuah program realiti TV berkualiti, uji bakat untuk PK kali ini akn lebih teliti.
"Sejajar dengan kematangan PK, kita mahu sesuatu yang lebih berkualiti dan bukan hanya menjurus kepada bakat semata-mata.
"Jadi, pada sesi uji bakat nanti, setiap peserta yang layak di peringkat pertama, akan melalui peringkat kedua.
"Di peringkat kedua itu nanti, peserta akan dinilai tahap kecerdasan, penampilan serta keyakinan diri sebelum layak menjalani kursus asas selama sebulan," katanya.
Bagi Rosyam, pembaharuan yang diperkenalkan pada musim terbaru PK bukanlah bertujuan untuk membebankan peserta sebaliknya sebagai persiapan lengkap untuk menjadi pelakon.
"Kita lihat musim pertama PK sebagai perintis. Musim kedua pula, ia lebih kepada memperkemas pengisian.
"Sekarang musim ketiga, pastinya PK lebih matang dan peserta perlu dipersiapkan dari segi mental dan fizikal sebelum mereka menjalani kursus asas dalam akademi selama tiga bulan.
"Semua yang di lakukan adalah untuk merealisasikan hasrat kita dalam melahirkan lebih ramai pelakon yang berwibawa," katanya.
No comments:
Post a Comment