Wednesday, October 19, 2011

Banyan mercu tanda KL

Banyan Tree Signatures Pavilion


KUALA LUMPUR 18 Okt. - Segitiga emas Kuala Lumpur bakal menerima satu lagi mercu tanda dengan pembinaan Banyan Tree Signatures Pavilion (Signatures) yang bakal dibangunkan dengan nilai kasar berjumlah RM1.4 bilion.


Projek itu akan dibangunkan oleh pemaju tempatan, Lumayan Indah Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh Banyan Tree Hotels and Resorts (Banyan Tree), pemaju premium pusat peranginan, hotel dan spa yang terkenal di seluruh dunia.




Pengarah Pan Asia Property Management Sdn. Bhd., Lee Whay Hoong berkata, Signatures adalah pembangunan mewah yang membabitkan kediaman dan hotel di atas tanah seluas 0.6 hektar di Jalan Conlay yang dibeli tiga tahun lalu.


Menurutnya, kos pembinaan projek itu dijangka menelan belanja sebanyak RM700 juta.


''Kami merancang melancarkan projek ini pada awal bulan depan, meskipun begitu pendaftaran untuk pembeli sudah pun dibuka sekarang.


''Jualan akan hanya dilakukan sebaik sahaja pelancaran dibuat,'' katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Lumayan Indah dan Banyan Tree di sini hari ini.


Sementara itu, Pengerusi Lumayan Indah, Tan Sri Aziz Ismail berkata, Signatures bakal menjadi sebuah kediaman paling tinggi di Kuala Lumpur dengan ketinggian 55 tingkat dan membabitkan satu blok sahaja.


Beliau berkata, kediaman itu akan terbahagi kepada dua iaitu 441 unit untuk kediaman persendirian manakala 51 unit adalah kediaman perkhidmatan.


Pengerusi Banyan Tree, Ho Kwon Ping pula berkata, pihaknya akan menguruskan 50 bilik suites hotel dan spa Signatures.


''Biarpun jumlah bilik yang ditawarkan oleh Signatures adalah terhad tetapi kami akan menjadikan ia sebuah hotel butik dan spa terbaik di Malaysia,'' ujarnya.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai unjuran harga yang bakal ditawarkan oleh Banyan Tree.


Whay Hoong berkata, pembeli ditawarkan pelbagai saiz binaan untuk kediaman iaitu tiga bilik, dua bilik dan studio dengan harga bagi setiap kaki persegi adalah di antara RM1,400 dan RM1,700.


''Harga ini tertakluk kepada tingkat kediaman, kedudukan kediaman sama ada menghadap bangunan ikonik negara, Kuala Lumpur City Centre dan keluasan,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment