Thursday, September 1, 2011

Yuna, Dari Myspace Ke Dewan Filharmonik Petronas (DFP)


Siri Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) Spotlight dengan bangganya memulakan musim konsert 11/12 dengan persembahan artis muda berbakat besar Yuna pada hari Selasa, 13 September 11 pada pukul 8.30 malam. (Persembahan ini adalah konsert tambahan selain dari konsert pertama pada hari Isnin, 12 September 11 yang telah mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan)



Bakat beliau mula dihidu di laman internet Myspace dan beliau seterusnya mengukir nama yang besar. Persembahan Yuna di DFP pastinya merupakan detik penting dalam kariernya di mana beliau bakal mempamerkan bakat seninya yang tersendiri kepada khalayak.

Yuna mula menulis sajak pada umur 14 tahun dan menulis lagu pada usia 19 tahun setelah mempelajari teknik memetik gitar melalui tunjuk ajar rakannya. Beliau juga mengambil kursus belajar piano pada usia 7 tahun.

Dengan jalur folk rock, akustika dan alternatif, muzik Yuna diinspirasikan dari keadaan sekeliling dan muzik yang beliau membesar bersama. Beliau mendengar muzik dari alunan The Cardigans, Fiona Apple, No Doubt, Garbage, Alanis Morissette, Sheryl Crow, Tori Amos, Silverchair dan kumpulan-kumpulan popular tahun 90an.

Yuna mencipta nama dalam persada muzik ‘independent’ melalui laman internet Myspace Music. Sukar untuk menidakkan karisma yang terserlah dalam muziknya, mencuri perhatian masyarakat secara mendadak. Beliau telah membuat banyak persembahan di konsert-konsert dan ‘gig’ sejak mengedarkan album Demo pada tahun 2008. Nama beliau kemudian naik mendadak menerusi EP perdananya dari tajuk yang sama. Album terbarunya bertajuk Decorate yang diedarkan pada tahun 2010 telah dirakamkan di Kuala Lumpur dan Los Angeles.

Yuna telah membuat persembahan di Mosaic Music Festival, Singapura (2009), KLUE Urbanscapes (2008 dan 2009), Sunburst Festival (2008) dan No Black Tie di Kuala Lumpur.

Beliau telah menerima pelbagai penghargaan ke atas bakatnya, antaranya Vokalis Pop Terbaik di Voize Independent Music Awards 2009 (VIMA), naib juara di Anugerah Juara Lagu 2009 (untuk Dan Sebenarnya), Artis Baru Terbaik di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan Artis Wanita Paling Popular di ABPBH 2010.

Di Anugerah Industri Muzik 2009, beliau mengungguli kategori-kategori Artis Baru Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik (untuk Dan Sebenarnya) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (untuk Deeper Conversation), di samping nominasi dalam kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu.

Di Shout Awards 2010, beliau dianugerahkan penghargaan ‘Breakthrough Artist’, ‘Pop Star’ Terbaik dan ‘The Ultimate Shout Award’. Di Anugerah Planet Muzik 2009, beliau dicalonkan untuk kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu untuk Artis Baru Wanita (untuk Dan Sebenarnya) dan Artis Popular Malaysia.

Lagu-lagu beliau telah mengungguli carta-carta Hot FM Carta 30, FlyFM Campur #1, Muzik Muzik 2009, KLFM #1 dan ERA #1, selain terpilih menjadi lagu tema untuk drama-drama popular tempatan.

Untuk persembahan sulung di DFP, beliau telah memilih beberapa lagu yang akan menyerlahkan vokal dan bakat seninya yang mempersonakan seperti Cinta Di Hari Raya, Fears & Frustrations, Come As You Are, Memo, Cinta Sempurna, Gelora Jiwa, Penakut, Rocket, Let Love Come Through, Coffee dan Gadis Semasa.

Beliau bakal diiringi Farhan Fadzlishah (gitar), Efry Arwis (bass), Adil Ali (drums), Mohd Said Shafiq (gitar kedua) dan Adam Shahrir (keyboard).

No comments:

Post a Comment