Tuesday, September 6, 2011

Yayasan Warisan Johor (YWJ) tak pernah iktiraf Mat Indera

Sejarawan, masyarakat kena tafsir Pengukir Nama Johor oleh 2 penulis berbeza

JOHOR BAHRU: Ahmad Indera atau Mat Indera tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ), walaupun namanya disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam buku bertajuk, Pengukir Nama Johor.


Sebaliknya, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang.


Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, buku itu juga memaparkan penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon Dirhan bertajuk Bajuri Haji Siraj, yang mendedahkan Mat Indera pemimpin komunis Melayu melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri.

Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan, berkata buku berkenaan hasil kajian penyelidik dan penulis secara individu di bawah Projek Penyelidikan dan Penulisan Warisan Sejarah Johor (PEWARIS) yang diselenggarakan yayasan itu.

“Projek PEWARIS membabitkan penulis dan penyelidik yang dilatih sekumpulan tenaga akademik dari beberapa institusi pengajian tinggi awam negara ini. Hasil kajian dan penulisan mereka dibukukan untuk tatapan masyarakat, termasuk buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan pada 2004.

“Justeru, Pengukir Nama Johor hasil kajian dan penyelidikan penulis secara individu walaupun mungkin boleh menimbulkan kontroversi. Terserah kepada masyarakat khususnya golongan sejarawan mentafsir dan menilainya kerana pentafsiran oleh golongan yang tidak arif, dikhuatiri boleh mengelirukan masyarakat.

“Selain artikel mengenai Mat Indera hasil penyelidikan dan penulisan Ismail, sebuah lagi artikel dalam buku sama oleh Sahgidon pula menyatakan Mat Indera adalah pemimpin komunis Melayu yang ganas dan kejam terhadap bangsanya sendiri," katanya di sini, semalam.

Muhamad Fuad berkata, perbezaan itu wujud kerana YWJ memberi kebebasan kepada penyelidik dan penulis sejarah berkenaan mengemukakan hasil kajian dan penulisan masing-masing dalam bentuk karya akademik popular.

Katanya, pendekatan itu dengan harapan hasil penyelidikan berkenaan dapat merangsang penulis lain memperkembangkan maklumat yang ada dalam penulisan buku terbabit supaya ia menjadi lebih komprehensif.

No comments:

Post a Comment