Jamilah Abu Bakar menunjukkan gambar Abu Bakar Daud (kanan) serta gambar bersama anggota polis lain di rumahnya di Taman Skudai Kanan, Johor Bahru, semalam. |
JOHOR BAHRU 6 Sept. - Keluarga waris anggota polis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong meminta Pas tidak lagi mengganggu mereka kerana pelawaan parti itu termasuk membantu menuntut pampasan daripada British ibarat ada udang di sebalik batu.
Jamilah Abu Bakar, 65, yang menetap di Taman Skudai Kanan, di sini berkata, apa yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai serangan di balai polis Bukit Kepong itu sangat menyakitkan hati.
Katanya, sejak isu itu dibangkitkan kembali Mohamad dan hangat diperkatakan ramai, keadaan kesihatannya semakin terganggu berikutan tekanan akibat memikirkan kenangan lama.
"Bapa (Koperal Marin Abu Bakar Daud) merupakan antara yang terselamat walaupun cedera parah dalam serangan komunis itu.
"Saya mungkin masih kecil ketika itu tetapi memori tentang serangan yang membunuh ibu kandung dan adik lelaki saya masih kekal sehingga kini.
"Sakit hati apabila Mat Sabu kata komunis adalah pejuang. Apa pun, perkara yang berlaku di Bukit Kepong adalah sama dengan yang diceritakan dalam sejarah yang tertulis sekarang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jelas Jamilah, bapanya antara yang terselamat walaupun cedera parah dalam serangan itu dan kembali bertugas sebagai polis marin di Tampoi sehingga pencen sebelum meninggal akibat kanser hati pada 1979.
Katanya, mereka berpindah ke beberapa tempat seperti Muar, Tanjung Surat di Kota Tinggi dan Skudai (kawasan kini menempatkan Plaza Angsana) sebelum berpindah ke alamat sekarang.
Semalam, tidak lama selepas sidang akhbar di Kelab Media Cina, rombongan Mohamad cuba mengadakan pertemuan dengan Jamilah di kediamannya namun dihalang oleh beberapa pihak.
Anak kepada Jamilah, Raja Zamzura Raja Bulat berkata, mereka yang menghalang rombongan Mohamad itu adalah bapa-bapa saudara dan ahli keluarga lain yang tinggal berdekatan.
Jelasnya, dia dan ibu tidak memberitahu sesiapa tentang hasrat Mohamad bertemu dengan ibunya tetapi perkara itu dibincangkan bersama anggota keluarga lain untuk mengelakkan perkara tidak diingini .
"Mereka tidak mahu ibu saya dipergunakan dalam hal sejarah yang dijadikan isu politik dan mereka juga marah kerana dia (Mohamad) mengguris perasaan ibu dan kami sekeluarga.
"Hari ini pun masih datang wakil Pas yang memperkenalkan diri sebagai 'Imam Zaaba' dan masih berkeras mahu mengatur pertemuan dengan seseorang bernama 'Suhaizan' kononnya untuk menjelaskan tentang sejarah sebenar dan soal tuntutan pampasan tersebut," katanya.
Imam Zaaba dan Suhaizan yang disebutkan Raja Zamzura dipercayai masing-masing adalah Naib Yang Dipertua Pas Pulai, Zaaba Ibrahim dan Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kayat.
Raja Zamzura juga mempersoalkan mengapa usaha tersebut cuba dibuat sekarang dan bukan sejak dulu lagi namun jawapan yang diberi oleh Zaaba adalah persoalan sejarah itu baru kini dibangkitkan.
"Keluarga kami juga tidak mahu menerima apa-apa sumbangan Pas. Jangan ganggu kami lagi kerana 'Imam Zaaba' itu sendiri cakap putar belit.
"Sekejap kata Mat Sabu nak jumpa (secara) tertutup jangan beritahu orang lain. Lepas itu kata mahu tolong tuntut pampasan dan kemudian cakap kata Mat Sabu cuma nak ucap selamat hari raya," katanya.
No comments:
Post a Comment