Thursday, September 8, 2011

Rentas jambatan gantung di Taman Air Panas Poring, Ranau Sabah

TINGGI...jambatan kanopi yang mencabar keberanian tetapi tawar pemandangan indah
TINGGI...jambatan kanopi yang mencabar keberanian tetapi tawar pemandangan indah
BERENDAM dengan air panas semula jadi sambil menikmati keindahan alam yang menghijau cukup mendamaikan. Keletihan dan kelesuan kerana tugasan harian bagaikan mengalir bersama air kolam.
Itulah yang dirasai tatkala berkunjung ke satu lagi destinasi menarik ditawarkan di ‘Negeri Di bawah Bayu’, Sabah iaitu di Taman Air Panas Poring, Ranau.



Terletak kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu dan 43 kilometer dari Taman Kinabalu, Kundasang yang juga tapak Gunung Kinabalu, Taman Air Panas Poring sememangnya tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelawat tempatan mahupun luar negara.

Menyingkap sejarah namanya, Poring adalah nama Kadazandusun bagi sejenis spesies buluh yang banyak didapati di kawasan terbabit.

Taman Air Panas Poring terbentuk secara semula jadi oleh aktiviti gunung berapi kurang aktif yang membebaskan wap panas, tetapi kehilangan habanya apabila air naik ke permukaan bumi.

FotoAir panas ini mengandungi karbon dioksida, hidrofon sulfida dan garam mineral lain yang didapati boleh merawat kebanyakan penyakit kulit.

Dengan lima mata air panas berkisar antara 49 hingga 60 darjah celsius, pengunjung berpeluang menikmati air hangat yang menyegarkan di kolam renang atau rendam dalam kolam dan tab berjubin.

Di Taman Air Panas Poring ini, ia mempunyai lebih 30 takungan mandi air panas jakuzi berbentuk tertutup atau terbuka, kolam rendaman kaki serta dua kolam renang semula jadi dan buatan.

Uniknya, setiap takungan mandi yang terdapat di situ turut menyediakan paip air panas dan sejuk bagi membolehkan pengunjungnya mendapatkan kepanasan yang sesuai.

Penyediaan saiz takungan mandi individu dan reka bentuknya berbentuk bunga itu menawarkan suasana selesa, tenang dan tidak diganggu oleh pengunjung lain.


FotoJusteru, ia sangat sesuai bagi pengunjung yang ingin menyenangkan minda sambil berendam air panas yang mengandungi galian sulfur yang boleh menyegarkan badan.

Kolam air panas semula jadi itu juga amat sesuai bagi menghilangkan rasa penat dan juga sakit sendi terutama bagi bagi mereka yang baru selesai mendaki Gunung Kinabalu.

Dua kolam air sejuk juga disediakan kepada pengunjung yang ingin merasai kedinginan air gunung taman air panas semula jadi itu.

Selain memberi peluang kepada pengunjung berendam di kolam air panas semula jadi, anda juga berpeluang menyaksikan sendiri keindahan flora dan fauna yang indah terpelihara.

Justeru, bagi pengunjung yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi boleh melakukan kegiatan lebih mencabar seperti berjalan di jambatan gantung berkanopi merentasi puncak pepohon pada ketinggian 41 meter dengan jarak sepanjang 157.8 meter.


Ketinggiannya sememangnya mencabar keberanian. Namun, apabila langkah demi langkah diatur dengan pandangan mencengkam rasa dari puncak pohon menggaris atau raja kayu yang mengasyikkan, ia sekali gus menerbitkan kepuasan tidak terhingga kerana berasa bagai berjalan meniti udara.

Melalui jambatan kanopi itu juga, pengunjung berpeluang melihat sendiri hidupan liar hutan tropika seperti monyet dan burung yang menghabiskan 75 peratus daripada masa mereka pada paras ini

Taman Air Panas Poring adalah destinasi pertama di Borneo memiliki taman bunga, tapak semaian dan pusat penetasan kupu-kupu untuk penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan spesies flora dan fauna yang semakin pupus.

Justeru, selepas menaiki jambatan kanopi, melawat Taman Kupu-Kupu yang sederhana besar di dalam kawasan taman air panas menambahkan lagi keterujaan.

FotoDibuka setiap Selasa hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 4 petang, Taman Kupu-Kupu menjanjikan sesuatu yang menari kepada pengunjung.

Ia ibarat kamus terbuka yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai kupu-kupu.

Galeri pameran, ruang penetasan dan nurseri makanan adalah antara segmen yang membolehkan pengunjung meningkatkan kefahaman mengenai spesies serangga itu.

Anda peminat serangga pastinya akan teruja melihat secara lebih dekat kupu-kupu terkenal, Rajah Brooke serta spesies ramai terbesar dan tercantik, Papilionidae.

Dianggarkan terdapat sebanyak 44 spesies kupu-kupu di Kepulauan Borneo dan sebahagiannya boleh ditemui di Taman Air Panas Poring.

Bagi yang ingin bermalam di Poring, penginapan turut disediakan yang di uruskan oleh Sutera Sanctuary Lodges.

Foto Foto

>> Bagaimana ke sini


  • Jika anda memandu sendiri dari pusat bandar Kota Kinabalu, pandu terus menghala ke Ranau kemudian mengikut arah jalan ke Taman Air Panas Poring.
  • Anda juga boleh menaiki bas awam dari Kota Kinabalu untuk ke Kolam Air Panas Poring tetapi perkhidmatan yang mereka sediakan cuma sekali dalam sehari sahaja.
  • Cara lain untuk ke sana ialah dengan menaiki teksi dari Ranau.

No comments:

Post a Comment