Tuesday, September 6, 2011

Fathia Tidak Demand

FATHIA... dituduh ‘besar kepala’
“Saya pantang jika ada yang mengatakan nama saya menjadi pilihan pengarah mahupun penerbit kerana saya memiliki wajah cantik dan bukan bakat,” kata pelakon jelita, Nur Fathia Abd Latiff, 24, atau lebih mesra disapa Fathia.


Menurutnya, dia berlakon kerana minat mendalamnya dalam bidang lakonan dan bukan mementingkan bayaran.

Oleh itu, katanya, sebaik mendapat tawaran dia menerima setiap watak dan menghayatinya sebaik mungkin.

Bagi Fathia, dia mahu dikenali kerana kebolehan dan bukan populariti serta pelakon yang menerima bayaran tinggi.

“Saya bukan ‘demand’ dengan setiap tawaran diberi, cuma saya tidak dapat menerima semua lamaran pengarah kerana kekangan masa dan keadaan yang tidak mengizinkan ketika itu. Lakonan hanya tuntutan kerja sambilan dan bukan sepenuh masa kerana saya masih ingin menikmati kehidupan sebagai pelajar” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Bagaimanapun, tindakan menolak tawaran mencurah-curah ketika ini menyebabkan sesetengah pihak beranggapan dia sudah ‘besar kepala’.

Namun, Fathia tidak cepat melatah dan menerangkan rasional dia mengambil jalan sedemikian, biarpun menyedari mungkin ada pihak terluka dan membuat andaian yang mengundang kontroversi negatif kepada dirinya.

Menurut penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, dia sebenarnya terpaksa ‘cuti seketika’ daripada dunia lakonan kerana mahu menumpukan perhatian kepada sesi pembelajaran yang akan bermula tidak lama lagi.

“Sebetulnya saya bukan merajuk atau bersara seperti digembar-gemburkan media, cuma saya kena tumpukan perhatian sepenuhnya kepada semester baru pengajian yang akan bermula pada 9 September ini hingga Disember depan. Mana mungkin saya berhenti kerana ini minat saya sejak kecil lagi. Namun saya kena berkorban kerana tidak mahu tumpuan kepada akademik terganggu dengan undangan lakonan. Berjaya dalam pendidikan adalah keutamaan buat masa ini kerana ia masa depan saya. Malah ayah dan ibu saya menekankan pentingnya untuk saya menggenggam segulung ijazah sebelum terus serius berlakon” katanya.

Fathia berkata, dia tetap akan berlakon jika tawaran diterima tidak bertindih dengan jadual akademiknya, tetapi tidak mahu terburu-buru semata-mata bimbang hilang populariti.


“Saya masih terima tawaran jika jadual penggambaran tidak bertindih dengan minggu peperiksaan atau kerja kursus. Jika ada pengarah memahami dan sudi mengatur mengikut kesesuaian masa, saya tiada masalah untuk menerimanya” kata pelakon berdarah campuran Arab di sebelah ibunya.

Mengulas permintaan peminat yang sudah sebati dengan wataknya bertudung di kaca televisyen, terutama dalam drama Stanza Cinta, Fathia berkata, dia berhasrat untuk bertudung kelak tetapi biar imej itu lahir berdasarkan keikhlasan.

No comments:

Post a Comment