ALOR SETAR: Polis telah menahan suspek kes pembunuhan seorang warga emas dalam satu serbuan di rumah keluarganya di Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang dekat sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Supritendan (DSP) Ku Yaacob Ku Hamad berkata serbuan dilakukan hasil maklumat jiran itu berjaya menahan suspek lelaki berusia 33 tahun ketika dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah kira-kira pukul 1.45 pagi.
Katanya jiran mengesyaki suspek, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, pulang ke rumah setelah mendapati lampu rumah dinyalakan sedangkan rumahitu tidak berpenghuni selepas kejadian ngeri Khamis lalu.
Suspek yang terkejut dengan kehadiran pihak polis cuba melarikan diri tetapi gagal ekoran tindakan polis mengepung dan memasuki rumah melalui pintu utamayang tidak berkunci.
"Ketika ditahan suspek masih berpakaian sama seperti kejadian Khamis lalu iaitu memakai seluar berwarna coklat," katanya kepada pemberita di sini hariini.
Ku Yaacob berkata dalam serbuan awal pagi itu, seramai 30 anggota polis dan 24 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dikerahkan bagi menjejaki suspek.
Beliau berkata polis akan membawa semula suspek ke tempat persembunyiannya sejak dua hari lalu bagi mencari sebilah parang yang dipercayai digunakan untukmenetak mangsa sehingga mati.
"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam kejadian pukul 7 malam Khamis lalu Seman Sirun, 60, mati akibat ditetak dengan parang manakala isterinya, Hasnah Abdul Majid, 58, cedera di bahagian kepala selepas turut terkena tetakan suspek. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment