Wednesday, August 17, 2011

Norman Berbuka Dengan Anak, Bekas Isteri


KUALA LUMPUR – Di sebalik kesibukan pelakon terkenal, Norman Hakim, yang sedang mempersiapkan diri mendirikan rumah tangga bersama pasangan barunya, Memey Suhaiza, beliau masih lagi mampu sempat berbuka puasa bersama anak-anak dan bekas isterinya, Abby Abadi.


Gambar-gambar yang dimuatkan ruangan album bertajuk ‘Syaaban Ramadhan 2011’, di laman Facebook Abby Abadi Lurvly Fanpage, jelas menunjukkan keriangan tiga anaknya Mohamed Danish, Marissa Dania dan Maria Dasnisha, dapat berbuka puasa bersama ayah mereka.

Dipercayai gambar-gambar tersebut telah dirakam oleh Abby sendiri ketika bekas suaminya itu bertandang ke rumahnya untuk berbuka puasa bersama anak-anak mereka pada awal Ramadhan yang ini.

Di dalam album tersebut, Abby turut memuatkan gambar Norman mengimamkan solat Maghrib bersama anak-anaknya yang masih kecil, comel mengenakan telekung, sejurus selepas berbuka puasa.

Norman yang berpisah dengan Abby pada 5 Mei 2006, dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu bahawa mereka tidak terikat dengan peraturan tertentu soal penjagaan anak, sebaliknya lebih fleksibel mengikut kesesuaian.

Selain itu, Norman mendakwa bahawa beliau tidak pernah lupa tentang kepentingan anak-anaknya yang tinggal bersama Abby dengan membelikan barang keperluan dapur setiap 20 hari sekali, membayar bil air dan elektrik, memberikan duit belanja sekolah serta perbelanjaan pengangkutan mereka ke sekolah.

Blog-blog hiburan terkenal seperti Izyan.com dan Beautifulnara.com turut mengambil kesempatan memuatkan detik-detik manis antara Norman, anak-anak dan bekas isterinya itu di blog mereka.

Sewajarnya, sikap Norman yang tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah perlu dicontohi oleh seluruh masyarakat Malaysia, khususnya kepada lelaki yang memiliki anak bersama bekas isteri masing-masing.

Bagaimanapun, Norman dan Memey yang dibebaskan dari tuduhan berkhalwat tiga tahun lalu telah menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada 24 September ini dan turut menjemput Abby menghadiri majlis tersebut.

Namun, Abby menegaskan bahawa beliau tidak mahu mengingati kisah lama dan enggan hadir ke majlis perkahwinan bekas suaminya itu.

No comments:

Post a Comment