KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tidak berasa malu untuk mengaku kebangkitan persatuan itu yang membantu hak artis-artis tempatan lebih jelas dilihat sejak dia memegang jawatan sebagai presiden.
"Sejak saya menerajui Seniman, Alhamdulillah dana yang berjaya dikumpulkan oleh persatuan dengan bantuan sumbangan daripada beberapa pihak tertentu sudah pun mencecah hampir RM1 juta.
"Keadaan ini lebih memudahkan pihak kami melakukan apa-apa saja perkara termasuklah memberikan sumbangan kepada golongan artis yang memerlukan menggunakan dana tersebut.
"Mungkin ada segelintir pihak melihat saya terlampau agresif, tetapi itulah tujuan sebenar persatuan, membantu artis-artis tempatan dalam segala hal yang berkaitan dengan industri," katanya.
Zed ditemui pada Majlis Mega Raya Seniman dan pelancaran MySeniman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Isnin.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tambah Zed, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendekatkan persatuan dengan badan-badan kerajaan bagi memudahkan lagi urusan hal berkaitan dengan hak royalti.
Sementara itu, mengenai MySeniman, ia merupakan sebuah program di antara Seniman dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Muslim Malaysia (DPPMM) yang bertujuan membantu para artis yang ingin memulakan perniagaan.
"MySeniman merupakan sebuah program yang ingin membantu para artis untuk berniaga di mana mereka akan disediakan modal sekiranya perlu untuk memulakan sesuatu perniagaan.
"Kemudian setiap 15 peratus keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaan itu akan dimasukkan ke dana Seniman.
"Menarik lagi, bagi yang kurang ilmu tentang hal perniagaan, MySeniman juga akan menyediakan beberapa kursus atau seminar mengenai pengurusan perniagaan," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai juga boleh turut serta dengan mendaftar di bawah program ini dan sekali gus akan menjadi ahli bersekutu persatuan itu di bawah Biro Kelab Penyokong Seniman.
Selain itu, MySeniman juga akan mengadakan siri jelajah secara besar-besaran bermula di negeri Pahang sebagai tanda promosi program dan produk-produk jualan artis yang terbabit.
Sementara itu dalam perkembangan lain persatuan tersebut mewakili kumpulan artis di negara ini mengutuk penghasilan filem 'Innocence of Islam' yang disifatkan sebagai tidak sensitif dengan agama Islam.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 32, berkata, pembikin filem berkenaan tidak seharusnya mempersendakan agama Islam sesuka hati yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
"Saya sebagai wakil Seniman mewakili semua artis dan pekerja filem di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyebaran klip filem berkenaan yang jelas bertujuan untuk menghina umat Islam di seluruh dunia.
"Pihak YouTube juga perlu mengambil langkah segera dengan membuang klip berkenaan daripada laman itu kerana ia telah mendapat bantahan keras daripada seluruh dunia," ujarnya.
Dalam pada itu, Zed berkata, penerbit dan pengarah filem di negara ini perlu mengambil kejadian itu sebagai iktibar dalam menghasilkan sesuatu karya yang tidak mengganggu sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum.
No comments:
Post a Comment