Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kiri) beramah mesra bersama pelajar baru Universiti Teknologi Mara semasa Majlis Sambutan Pelajar Baru di Shah Alam |
SHAH ALAM 6 Sept. - Kementerian Pengajian Tinggi tidak menolak kemungkinan melaksanakan proses temu duga sebelum menerima kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada masa depan.
"Pencapaian akademik di peringkat sekolah semakin meningkat dan kita mungkin menggunakan sistem temu duga seperti di India yang mempunyai calon layak yang ramai.
"Buat masa ini, Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan sistem temu duga dan bagi Universiti Malaya (UM), calon perlu menjalani temu duga untuk kursus tertentu," katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama pelajar baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Mohamed Khaled berkata, buat masa ini, kementerian akan meneruskan sistem pengambilan seperti biasa iaitu melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dan permohonan terus ke universiti tertentu seperti USM.
Mengulas tindakan terhadap seorang lagi pelajar lelaki yang ditahan pihak berkuasa di negeri ini kerana berkelakuan biadab memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak katanya: "Terpulang kepada pihak universiti untuk membuat penilaian dan hukuman ke atas pelajar yang memalukan nama baik mereka.
"Di universiti, pelajar ini diajar dari sudut akademik, disiplin dan integriti. Jika pelajar tersebut berkelakuan sedemikian, pasti ada tidak lengkap dengan pembelajaran mereka di universiti tersebut." katanya.
No comments:
Post a Comment