Lisa Surihani kini bergerak atas kapasiti artis bebas. - Foto oleh RAYMOND OOI |
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani Mohamed atau Lisa percaya tindakannya meninggalkan Metrowealth (MIG) selepas lima tahun berada di bawah pengurusan syarikat filem itu menjadikan dia lebih berdikari dalam bidang lakonan tanah air.
“Saya menandatangani kontrak pengurusan artis di bawah MIG selama lima tahun dan ia berakhir pada 10 Ogos lalu. Perkara ini sudah saya pertimbangkan sejak dua tahun lalu lagi tetapi saya berpegang pada janji untuk terus bersama mereka sehingga kontrak tamat.
“Maka, selepas kontrak itu berakhir, kini saya sudah bersedia untuk berdiri sepenuhnya di atas kaki sendiri. Sepanjang tempoh itu, saya amat hargai pengalaman, ilmu dan kerjasama yang terjalin antara kami dalam membantu saya pada aspek kerjaya dan peribadi,” katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, petang Rabu.
Lisa berkata, status sebagai artis bebas tidak menggugat perjalanan kerjayanya kerana ia memberikan lebih kebebasan dan kematangan untuk dia menerima sesuatu tawaran kerja.
“Saya percaya rezeki adalah ketentuan Tuhan dan kita perlu terus berusaha. Status sebagai isteri orang sejak tujuh bulan lalu tidak menjejaskan kelancaran kerjaya saya.
“Betul kata orang tua-tua, rezeki akan menjadi lebih murah selepas berkahwin dan perkara itu yang saya lalui sekarang,” akui isteri kepada pengarah filem Yusry Abdul Halim ini.
Mengenai filem terbaru lakonannya berjudul Istanbul Aku Datang, Lisa berkata, pengalaman membintangi filem arahan Bernard Chauly itu mempunyai makna dan kesan tersendiri.
“Istanbul Aku Datang mungkin sebuah filem ringan dan romantik tetapi bukan tugas mudah sebenarnya untuk menggalas watak Dian. Watak utama itu mungkin ringkas dan tidak rumit tetapi cabarannya adalah pada cara menyampaikan lakonan agar ia dapat dirasai penonton.
“Pengalaman saya melalui latihan intensif sepanjang penggambaran dan penelitian yang ditekankan pengarah pada setiap aspek termasuk lakonan mengajar saya banyak perkara baru. Ia adalah kerjasama berpasukan yang terbaik yang pernah saya lalui,” kongsinya.
Filem yang menjalani penggambaran pada Oktober tahun lalu di Istanbul, Turki itu turut menggandingkan Lisa dengan penyanyi Tomok dan Beto Kusyairi.
Ia bakal ditayangkan pada 8 November depan.
No comments:
Post a Comment