Meskipun menggunakan perkataan hantu sebagai tajuknya, namun unsur seram langsung tidak ditonjolkan di dalam filem ini dan ianya memang sesuai dengan genre sebenarnya iaitu aksi komedi. Malah filem ini lebih banyak memaparkan kisah Mat Rempit dari sudut positif.
Ditambah pula dengan unsur komedi menerusi watak hantunya yang digalas Zizan Razak itu pula langsung tidak menyerupai hantu atau mayat. Sebaliknya, pengarahnya Ghaz Abu Bakar menggunakan elemen fantasi untuk menggambarkan kewujudan hantu atau roh di dalam filem pertamanya.
Ulasan Penuh
Walaupun mengisahkan mengenai seekor hantu, namun dari mula hingga akhir tiada langsung memaparkan unsur seram atau sebagainya seperti filem hantu biasa. Malah watak hantu yang digalas oleh pelakon Zizan Razak lebih berperwatakan seperti seorang manusia. Cuma sifatnya sahaja berbeza apabila Zizan yang membawa watak Ajib yang berupaya muncul pada bila-bila masa serta di mana-mana sahaja tanpa boleh dilihat oleh manusia biasa.
Malah unsur hantu itu dijadikan sebagai fantasi kepada rakan Ajib iaitu lakonan Fizz Fairuz selepas dia satu-satunya manusia yang mampu berkomunikasi serta melihat wujudnya roh Ajib dengan mata kasar. Kelebihan Fizz menyebabkan orang disekelilingnya berasa pelik apabila melihat seperti dia berbual seorang diri.
Sebagai pengarah kreatif video muzik yang pertama kali mengarahkan filem penuh, Ghaz Abu Bakar cuba menyerapkan beberapa elemen dan angle berbeza dengan caranya tersendiri untuk mengadaptasikan watak hantu d sebagai roh yang berkeliaran. Malah, ada ketikanya, Ghaz cuba mengadaptasikannya sebagai jin dan lebih kepada dunia fantasi apabila Ajib mempunyai kuasa untuk menggerakkan sesuatu benda walaupun hanya bersifat roh.
Menyentuh mengenai kredibiliti pelakon-pelakon di dalam filem ini, lakonan Zizan nampaknya tidak sangat berubah sepertimana watak-watak yang pernah dibawakan di dalam filem komedinya yang lain. Zizan masih tidak boleh lari dengan stail humornya yang sudah dapat dibaca atau sudah boleh dijangka.
Namun berbeza dengan Fizz Fairuz, wataknya sangat berlainan dengan watak-watak yang pernah dibawakan, apatah lagi dengan karakter diri sebenarnya. Di sini terus-terang penulis katakan, kredibiliti Fizz Fairuz sebagai pelakon harus dipuji kerana meskipun dia bukan seorang pelawak tetapi gaya serta memek mukanya membawakan watak ustaz 'wannabe' sangat kelakar dan mencuit hati. Ternyata lawak yang ditonjolkan Fizz mampu membuatkan audiens berasa tidak kering gusi.
Secara keseluruhan semua pelakon termasuk pelakon baru dalam dunia perfileman iaitu Hairul Azreen dan Izzue Islam telah memainkan peranan yang sangat bagus. Malah, mereka telah berjaya membuatkan keseluruhan filem ini diwarnai dengan pelbagai karakter yang menarik.
Sinopsis
Mengisahkan tentang Ajib (lakonan Zizan Razak), seorang mat rempit yang kesempitan wang terjebak dalam perlumbaan haram dengan musuh ketatnya, Tiger (lakonan Remy Ishak) demi memenangi wang pertaruhan.
Bagi memastikan kemenangan berpihak padanya, Tiger telah melakukan khianat dalam perlumbaan itu sehingga menyebabkan kemalangan ngeri yang mengorbankan nyawa Ajib. Ajib kini menjadi hantu yang hanya mampu dilihat oleh calon Imam Muda di kampungnya iaitu Ibrahim (lakonan Fizz Fairuz).
Ibrahim terpaksa mencari jalan untuk meyakinkan keluarga Ajib dan memberi semangat kepada Akim (adik kepada Ajib, lakonan Hairulazreen) untuk menuntut bela di atas kematian abangnya, sekaligus menebus hutang Ajib.
TAJUK: Hantu Kapcai
GENRE: Aksi Komedi
PENGARAH: Ghaz Abu Bakar
PELAKON: Zizan Razak, Fizz Fairuz, Hairul Azreen, Remy Ishak, Izzue Islam, Neelofa
TAYANGAN: Mulai 27 September 2012
No comments:
Post a Comment