Wednesday, August 1, 2012

Seaport Terminal (Johor) dapat projek naik taraf Penang Port

Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd akan melabur RM5 bilion bagi menukar pelabuhan tertua di Malaysia itu menjadi pelabuhan serantau
Kuala Lumpur: Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd, pemenang bidaan bagi penswastaan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), pengendali Pelabuhan Pulau Pinang, akan melabur sehingga RM5 bilion bagi menukar pelabuhan tertua di Malaysia itu menjadi pelabuhan serantau. Pengarah Pelabuhan Seaport, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman, berkata pelaburan yang akan dibuat sebaik proses pengambilalihan dimuktamadkan dan sehingga 2022 itu akan membabitkan kombinasi suntikan ekuiti, dana dalaman dan pinjaman.

Kami menjangkakan pengambilalihan PPSB dapat dimuktamad akhir tahun ini”. - Mohd Sidik Shaik Osman, Pengarah Pelabuhan Seaport

“Kami menjangkakan pengambilalihan PPSB dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini berikutan syarikat perlu memeterai beberapa dokumen dan memenuhi beberapa prosedur yang ditetapkan.

Naik taraf

“Sebaik selesai, kami menyuntik sehingga RM5 bilion sebagai perbelanjaan modal menaik taraf serta memperbaiki semua kemudahan di pelabuhan itu. 


“Suntikan dana itu bertujuan meningkatkan kapasiti dan menukar pelabuhan tertua negara itu menjadi pintu masuk utama perkhidmatan perkapalan dan kargo khususnya dari kawasan Teluk Benggala, Myanmar, Bangladesh, selain menjadi hab pelabuhan serantau bagi laluan antara India dan China,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur semalam. 

Penang port pandangan dari satelit
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan Seaport, iaitu syarikat yang dikuasai usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai pembida berjaya bagi melaksanakan penswastaan PPSB.

Seaport dipilih kerana mengemukakan tawaran berdaya saing. PPSB yang berada di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan, mengendalikan Pelabuhan Pulau Pinang sejak 1994 selepas mengambil alih pera-nannya daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP). SPPP kini hanya bertindak sebagai badan kawal selia ke atas pelabuhan itu.

Rancangan menswastakan PPSB itu bagi mengembangkan pelabuhan tertua di negara itu yang kini menduduki tangga ke-96 dalam senarai 100 pelabuhan kontena dunia.

Seaport pula adalah antara pe megang saham utama dalam MMC Corporation Bhd (MMC Corp) yang memiliki pengalaman serta kepakaran sebagai pemilik dan pengen-
dali pelabuhan terbesar di Malaysia, iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Johor Port yang terletak di selatan tanah air.

Mengulas lanjut rancangan pelaburan itu, Mohd Sidik berkata, daripada RM5 bilion itu, RM1 bilion akan digunakan bagi tempoh 2012 hingga 2017.

Mudahkan pengemudian

Pembangunan pesat Pelabuhan Johor yang di urus oleh Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd.
Katanya, ia antara lain adalah untuk mendalamkan laut untuk memudahkan pengemudian kapal serta memulihkan kembali operasi perniagaan PPSB dan menjadikan syarikat itu kembali untung. 

“Baki RM4 bilion akan dilabur ke dalam PPSB secara berperingkat sehingga 2022,” katanya. sambil menambah pihaknya akan turut menaik taraf dan meneruskan perkhidmatan feri dengan tumpuan kepada pejalan kaki dan penunggang motosikal sesudah mengambil kira pengguna kereta mempunyai alternatif jambatan kedua. 

Sementara itu, Mohd Sidik turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Seaport akan menurunkan peranan serta taraf Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan pengantara sebaik mengambil alih atau memindahkan beberapa kren di pelabuhan itu ke PTP.

Sebaliknya, beliau berkata, meskipun terpaksa menanggung hutang PPSB yang berjumlah RM1.3 bilion, pihaknya tetap komited melabur menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai peserta utama serantau.




No comments:

Post a Comment