Sunday, August 12, 2012

Mawi Lancar Album Baru, Aktif Mengarah Drama


Sekitar tahun 2005, Mawi memiliki pesona dan aura kuat yang meyakinkan peminatnya dia bersifat penghibur universal. Namun, kian meniti hari kelibatnya semakin luntur.

Melihat fenomena itu, kata Mawi dia masih relevan sehingga hari ini cuma fokusnya dilebihkan untuk bidang belakang tabir dan produksi.

"Saya baru habis penyuntingan telefilem Siapa Dapat Lisa yang bakal ditayangkan pada hari raya kedua nanti. Itu telefilem kedua arahan saya selepas Pak Nil Ibu Kirim Salam yang sedikit berat naskhahnya walaupun bersifat komedi.

"Saya masih mendapat undangan menjayakan acara nyanyian termasuk bulan Ramadan. Masih ada permintaan dan bukan menghilang begitu saja," tegasnya yang ditemui pada majlis berbuka puasa Arteffects Sdn. Bhd. dan pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Siapa Dapat Lisa kata Mawi menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Yasmin Hani, Abon dan kumpulan Sepahtu dan bakal ditayangkan pada hari raya kedua pukul 12 tengah hari di saluran Astro Prima.

SUASANA pada pelancaran album Mawi, Najdi dan Fitri Haris di Hotel Royale Bintang The Curve, Damansara baru-baru ini.

Telefilem itu juga diambil daripada judul single album Sepahtu yang melodinya dicipta Datuk M. Nasir manakala lirik lagu serta skrip telefilem itu ditulis oleh Budi Hikayat.

Menurut Mawi ketika ditemui, album terbaharunya yang berjudul Mawi, Asmaulhusna, sudah empat hari berada di pasaran dan jualan pada hari pertama saja difahamkan mencecah 5,000 unit.

"Idea untuk merakamkan album itu datang empat tahun lalu dan proses rakaman bermula sekitar dua bulan lalu. Syukur Alhamdulillah album itu mendapat sambutan hangat," getusnya lega.

Album yang diterbitkan dengan kerjasama Arteffects Sdn. Bhd. dan MW Entertainment Sdn. Bhd. itu mengandungi 10 buah lagu dengan setiap lagu mengandungi 11 nama Allah.

Sepanjang Ramadan, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor itu sentiasa tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian dekat atau jauh.

"Lagu yang saya nyanyikan berdasarkan permintaan penganjur. Baik pop, nasyid mahupun lagu terapi ketuhanan saya tiada masalah untuk menyanyikannya," katanya.

Malah, hampir sebulan berpuasa bersama cahaya mata sulung Mawi akui Mawi, dia tidak cukup tidur. "Tidur sekarang sedar tak sedar sejak ada anak (Cahaya Malaika), kena ikut jadual tidur dia tapi seronok sebenarnya," ungkapnya.

Mawi akan pulang berhari raya di Johor dua hari sebelum 1 Syawal dan segala persiapan hari raya diserahkan sepenuhnya kepada isterinya, Ekin.

No comments:

Post a Comment