Thursday, August 16, 2012

Aaron Aziz rindu kampung halaman

Hari raya adalah masa untuk membayar semula hutang masa dengan anak-anak dan isteri yang selama ini agak berkurangan kerana kerja.
HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Itulah pepatah yang sering diguna pakai oleh anak rantau tatkala menyambut lebaran.

Setiap anak rantau pasti mencari ruang pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga kerana suasana itu lebih meriah daripada kesepian di perantauan.

Begitu jugalah dengan pelakon Aaron Mustapha Aziz, 36, yang selama ini mencari rezeki di Malaysia. Dia pasti membawa keluarganya pulang ke Singapura merai Syawal bersama sanak saudara.

Aaron yang telah mendapat taraf penduduk tetap Malaysia awal Jun lalu seperti yang dapat dilihat dalam iklan di Astro, semasa kecilnya sepi ketika menyambut raya.

Namun suasana rayanya menjadi kecoh dan meriah selepas berkahwin dengan Diyana Halik, 30, kerana sanak saudara sebelah isterinya suka berkumpul dan ziarah menziarahi antara satu sama lain.

"Kalau tengok adegan kat Astro, itulah saya semasa dulu. Lepas sembahyang raya, saya yang gemar memakai baju Melayu dan seluar jeans akan duduk mengadap TV sahaja. Itulah raya bagi saya.

"Tapi bila bersama keluarga Diyana, semuanya berubah 100 peratus. Tak ada masa untuk menonton TV kerana ada sahaja tetamu yang datang bertandang," ceritanya.

Aaron yang kini sentiasa sibuk dengan jadual penggambaran yang ketat bagaimanapun bernasib baik kerana isterinya bertindak sebagai pengurus dan dapat mengatur jadual kerjanya dengan teliti untuk bersama keluarga.

Mereka sekeluarga termasuk tiga anak, Danish Anaqi, 7, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, 2, akan pulang ke Pasir Ris, Singapura hari ini.

"Saya bercuti hingga 26 Ogos. Di Singapura kami akan menetap di hotel. Bukan tak mahu balik rumah keluarga tapi biasalah rumah di sana kecil, mana muat bila semua orang balik.

"Tidur sahaja kat hotel... Raya tetap di rumah ibu bapa. Raya macam biasalah akan ada rombongan sanak saudara datang menziarah," katanya.


Diyana yang awalnya hanya mendiamkan diri kemudian menyampuk. Katanya, tahun ini dia dan keluarga sepakat akan menyewa bas untuk berhari raya di rumah sanak saudara.

"Seronok pergi beraya naik bas sewa. Selalunya acara menziarah kaum keluarga dibuat pada hari raya kedua.

"Sekurang-kurangnya lapan rumah yang di singgah, bermula pagi hingga petang. Setiap satu rumah sekurang-kurangnya kami akan luangkan masa selama satu jam.

"Pernah ibu saya kehabisan wang raya kerana tetamu datang silih berganti. Selalunya Aaron akan menyediakan kira-kira RM800 duit raya untuk dibahagikan kepada kanak-kanak," ceritanya.

Tambah Diyana, di Singapura hari raya dirai sampai sebulan dan dalam tempoh itu masih ada tetamu yang datang bertandang.

"Makanan tetap sama. Ketupat, serunding, rendang ayam mesti ada. Selalunya kalau buat rumah terbuka, kami lebih senang menggunakan katering. Senang tidak perlu nak bersusah payah lagipun ruang memasak di rumah bukannya luas," katanya.

Menurut Diyana, kediaman orang tuanya di Singapura mula menjadi perhatian ramai sejak filem KL Drift ditayangkan dan populariti suaminya mendadak naik.

Sejak itulah setiap kali raya Aaron perlu menyediakan duit raya untuk kanak-kanak yang datang.

No comments:

Post a Comment