Monday, July 9, 2012

Menatap perbezaan Mahathir dan Marina


Saya bersetuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa anak mempunyai pendapat tersendiri dalam hal tertentu. Dalam keluarga orang cerdik, sering terdapat anak yang bercanggah pendapat dengan bapanya tetapi mereka masih saling berkasih sayang.

Berkaitan hal ini, kita tahu dan amat berharap Marina mengasihi bapanya, sebagaimana Mahathir mengasihi anaknya.

Kasih sayang ibu bapa kepada anak, dan anak kepada ibu bapa, hendaklah diperlihatkan golongan atasan, terutama yang terlibat dalam politik. Mereka ialah golongan contoh anak muda keseluruhannya. Jika ada pertentangan, hendaklah dikawal sebaik-baiknya.

Kita tahu bahawa Marina hadir ketika demonstrasi yang dilaksanakan Bersih. Ini membangkitkan kebimbangan bapanya, Mahathir.  Namun kita belum tahu apakah alasan sebenar Marina bertindak demikian. Kesepian ialah satu agakan.  

Mahathir menduga, “Maybe it’s because she has no ambition in politics, so she speaks her mind.” (New Straits Times, 1 Julai lalu). Ertinya, Marina berhasrat untuk sekadar aktif dalam NGO, jadi soal untung rugi kerajaan, tidak diambil berat. Melalui pemerhatian setiap pengkaji masyarakat, adalah hal biasa anak kurang peka susah payah ayah bonda.

Adalah biasa juga apabila seseorang bapa amat mengambil berat terhadap anaknya, lelaki dan perempuan. Cuma, apabila hal ini dikaitkan dengan politik, kesannya jauh. Perhatikan, teguran Mahathir agar Marina jangan pergi terlalu jauh bersama-sama Bersih, kerana itu akan memberi kesan negatif terhadap kepentingan politik adiknya, Datuk Mukhriz. Teguran itu kedengaran terlalu kekeluargaan. Hal seperti itu betul, tetapi jarang dicakapkan, dan ternyata  Mahathir terlalu lurus.  


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan, teguran Mahathir telah mengheret kepentingan keluarga. (Sinar Harian, 1 Julai 2012). Bagi Nik Aziz, seorang negarawan tidak akan mengheret kepentingan keluarga dalam membincangkan soal negara. Nik Aziz juga amat baik, kerana mengiktiraf Mahathir sebagai negarawan, padahal sesetengah ahli pembangkang mencemuh Mahathir dengan aneka gelaran.   

Di samping itu, hal yang berkaitan, pembaca tentu tahu bahawa ahli politik atasan sentiasa mengheret kepentingan keluarga, iaitu menjaga kepentingan politik anak, isteri, sep upu dan teman akrab. Sila selidiki orang besar daripada satu keluarga dalam setiap parti politik yang dominan dalam negara kita: parti kerajaan dan parti pembangkang.

Melalui kotak psikologi, keakraban Marina dengan Datuk Ambiga dapat dilihat sebagai kesan kesepian. Bukanlah sedikit jumlah manusia di dunia ini yang mencari kegiatan untuk mengubat derita sepi. Itu biasa. Itu bukanlah hal politik. Dalam kehidupan, baik dalam kalangan si miskin, mahupun golongan elit, kesepian sentiasa berupaya mendatangkan seksaan.

Saya sebenarnya terlalu berjimat untuk tidak mengeluarkan idea psikologi dalam membicarakan kegiatan berkumpulan, termasuk perhimpunan Bersih. Berkaitan dengan kegiatan Marina, memandangkan bapanya orang penting dalam negara, eloklah sudut ini dikemukakan, agar orang ramai tidak tersasul mengatakan Mahathir bernasib malang kerana Marina berlainan haluan, atau  Marina bersua dengan kebenaran.

Kesepian ialah pendorong kegiatan. Namun, melalui kotak lain pula, saya sekata dengan Mahathir apabila beliau menyebutkan anak tidak boleh dididik melalui arahan ‘please stop this, please stop that’. Anak terlepas pandang untuk mengambil tahu perjuangan bapanya, dan ini berlaku dalam semua bidang.

Mahathir ialah negarawan, bukan tahap sasterawan. Namun sebagai perbandingan boleh juga saya ambil misalan daripada dunia sastera. Saya pernah menemu duga seorang anak sasterawan terkemuka mengenai buku karya bapanya. Karya yang menyebabkan bapanya disanjung sebagai sasterawan utama dalam negara, tidak diketahuinya. Malah –  mungkin lantaran malu –  dia mengeluarkan kata-kata bahawa kegiatan bapanya tidak ada makna baginya.

Tentulah Marina tahu pencapaian luar biasa bapanya. Bagi pihak yang marah-marah, mungkin Ambiga atau orang lain lebih penting daripada Mahathir, tetapi itu hanya betul dalam penonjolan emosi. Perkara yang berlaku dalam diri penggiat sosial adalah rumit untuk difahami, penuh kerahsiaan. Mereka berasa puas apabila berjaya dalam melaksanakan kegiatan seumpama perhimpunan Bersih. Orang seperti Datuk A Samad Said misalnya, akan ditikam kesepian jika beliau hanya bersajak dan bernovel. Lalu, seperti Marina, A Samad juga memilih Ambiga.

No comments:

Post a Comment