Sunday, July 29, 2012

Farhan Menjadi Tumpuan Di Bazar Ramadhan Bukit Jalil


Kedatangan bulan Ramadhan ini buat para selebriti merupakan antara waktu yang mereka nantikan. Di samping menghabiskan  masa bersama keluarga tersayang, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan berniaga di bazar Ramadhan. Peluang itu diambil Farhan, bintang kelahiran Akademi Fantasia untuk turut sama menambah pendapatan Ramadhan ini.

Bertempat di Bazar Ramadhan Perkarangan Stadium Bukit Jalil, Farhan bersama beberapa rakan artis lain berkampung selama sebulan mencari rezeki di sana. Farhan yang terkenal dengan perniagaan biskut  rayanya sejak 4 tahun lalu meneruskan legasi perniagaannya di sini.

“ Biskut raya yang Farhan jual di sini semuanya homemade. Antara kuih yang Farhan buat ialah biskut Makmur, biskut Mazola dan macam-macam lagi. Farhan dah mulakan perniagaan ini sejak 4 tahun lepas. Ramadhan lepas Farhan berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman “, ujar Farhan.


“Alhamdulillah. Setakat ini sambutan terhadap Farhan Cookies semakin baik. Kalau nak berniaga ini kena ada semangat dan minat yang kuat. Jangan mudah berputus asa. Berniaga ini ada naik turunnya. Setakat ini Farhan bersyukur dengan penerimaan positif peminat dan pengunjung terhadap biskut buatan Farhan “.

“Tahun ni yang istimewa Farhan buat Kek Buah Kukus. Biasanya kek buah ni orang bakar tapi Farhan kukus untuk jadikan kek ni lebih sedap. Bila kita kukus, kek ni akan jadi lebih berat dan penuh dengan khasiat buah-buahan. Pada siapa yang nak dapatkan kek ini boleh datang ke gerai Farhan“, tambah pemilik nama sebenar Farhan Azizan ini.

Menyentuh tentang cerita cintanya bersama buah hati tersayang, Rashdan ini kali pertama Farhan berpuasa dengan ikatan pertunangan yang berlangsung Februari lalu. Menurut Farhan, beliau gembira kerana Rashdan sentiasa menyokong karier seninya. Tambah Farhan lagi, tunangnya itu turut setia menemani beliau berniaga di bazar.

GUA sempat bertanyakan Farhan tentang tarikh pernikahannya dengan jejaka berusia 28 tahun itu.

“ Setakat ni tak ada tarikh yang ditetapkan lagi. Insya-Allah, pertengahan tahun depan kalau diizinkan Tuhan. “, ujar Farhan yang khabarnya memilih rona coklat untuk digayakan bersama tunangnya raya nanti.

Farhan juga dalam masa yang sama turut memenuhi undangan ke majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Sepanjang Ramadhan ini, Farhan mengakui akan lebih meluangkan masanya di bazar bagi menguruskan perniagaan Farhan Cookies tersebut. Kesempatan ini juga kata Farhan menjadi wahana terbaik buatnya mendekati peminatnya dengan lebih dekat.

Buat semua peminat Farhan, anda semua bolehlah berkunjung ke gerai Farhan yang terletak di Bazar Ramadhan Perkarangan Stadium Bukit Jalil. Biskut hasil air tangan Farhan ini boleh didapati dengan harga berpatutan. Selain itu, gerai Farhan turut menjual kemeja T berjenama yang menarik buat dipakai lebaran nanti.







No comments:

Post a Comment