Tuesday, July 17, 2012

'Chef Surprise' Rezeki Pertama Dato` Fazley Lepas Juarai Masterchef


Sentuhan Bintang merupakan episod penutup bagi siri pertama Masterchef Selebriti Malaysia dimana telah menobatkan penyanyi, pelakon, perunding motivasi terkenal tempatan iaitu Dato` Dr. Fazley sebagai juara bagi program memasak popular ini.

Dato` Dr Fazley yang menewaskan Angah Raja Lawak itu telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM57,500 untuk disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia selepas berjaya menyiapkan tugas di Dapur Barat dan memuaskan hati juri.

Portal Murai menghubungi personaliti popular ini bagi mendapatkan komen tentang kejayaan terbaru yang diraihkan malam tadi yang disiarkan di Astro Ria.

"Tujuan asal saya terima untuk masuk rancangan ini pun kerana atas tujuan amal. Ada ahli keluarga terdekat yang meninggal kerana sakit jantung dan kerana itu saya terpanggil untuk mewakili Yayasan Jantung Malaysia.

"Sebagai seorang perunding motivasi, pengalaman di Masterchef Selebriti Malaysia merupakan pengalaman yang baru dan ia sangat berguna untuk dikongsi dengan umum. Saya bukan sahaja harus tahu cara masak yang betul tetapi persediaan dan bekerja dibawah tekanan masa bukan satu yang mudah," ujarnya yang ternyata puas beraksi dalam Masterchef Selebriti Malaysia.


Dato` Dr Fazley juga telah dirisik untuk mengadakan beberapa program yang menampilkan dia sebagai seorang perunding motivasi dan sebagai seorang chef.



"Kini saya sedang sibuk bagi penggambaran untuk program masakan baru untuk saluran Astro Prima iaitu Chef Surprise.

"Dalam masa yang sama, pihak Astro ada berbincang untuk mengadakan program baru bercorakan motivasi, gaya hidup dan masakan dalam satu masa dan itu bagi saya sangat menarik untuk dicuba,"tambahnya lagi yang teruja dengan program-program yang bakal diterajuinya.

Dia yang mengaku tidak pernah memasak sehinggalah dia terpaksa mengambil tugas itu daripada isterinya selepas mengandungkan anak mereka yang pertama. Ini sekaligus membuka minda umum bahawa segala yang baru bisa dipelajari cuma bergantung kepada kehendak masing-masing.

Untuk tugasan akhir dalam episod Sentuhan Bintang ini, dua orang selebriti yang terpilih sebagai finalis akhir iaitu Dato' Fazley dan Angah perlu menyediakan menu lengkap termasuk pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut mengikut kreativiti masing-masing untuk dihidangkan kepada barisan juri dalam tempoh masa dua jam.


Dato' Fazley memilih untuk menghidangkan Fall In Love sebagai pembuka selera, An Afternoon Date In London sebagai hidangan utama dan French Poem By The Lake sebagai pencuci mulut.

Dia juga sedang dalam proses akhir menghasilkan buku ketiganya dalam masa yang sama akan memasukkan sekali segala pengalaman yang diterimanya di dalam program masakan tersebut. Tidak lupa juga single terbarunya Jaga-Jaga bersama rapper terkenal Altimet juga kini sedang rancak dimainkan di radio dan perlancaran album terbarunya akan mengambil tempat selepas Aidilfitri ini.

No comments:

Post a Comment