Friday, June 29, 2012

Mizz Nina, Justin Bieber, Kara, Jay Park Meriahkan MTV World Stage 2012 Di Sunway Lagoon


Kuala Lumpur sekali lagi dipilih untuk menjadi lokasi MTV World Stage 2012 yang bertempat di Surf Beach Sunway Lagoon pada 14 Julai bakal menemui peminat muzik di Asia Tenggara. MTV merupakan salah satu rancangan muzik televisyen antarabangsa yang seringkali menampilkan barisan artis terkemuka dunia.

Sunway Lagoon sekali lagi bakal dihujani dengan beribu-ribu peminat MTV yang bakal dihangatkan lagi dengan kehadiran Justin Bieber. Ini merupakan kali kedua kedatangan Justin ke Malaysia dan boleh dianggap bertuah kerana bakat muda ini kini sibuk mempromosikan album terbarunya.
Single terbarunya yang berjudul Boyfriend membuktikan ikon muda ini bukan sahaja bergantung pada rupa semata-mata namun turut mempertaruhkan bakat. Sesuai dengan dirinya yang semakin dewasa, album Believe memuatkan elemen-elemen baru yang dilihat agak berbeza.

Mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan peminat-peminat cilik, penampilan Justin di jangka mampu menarik minat ramai remaja untuk ke konsert ini. Tidak ketinggalan pemenang pelbagai anugerah di Korea iaitu Jay Park dan Kara akan turut tampil membuat persembahan.



Jay Park baru-baru ini membuat persembahan bagi mempromosikan album terbarunya berjudul “New Breed”. Dia merupakan bekas anggota kumpulan 2PM yang kini bergerak solo meneruskan perjuangan dalam bidang seni.

Mizz Nina yang kini turut membina nama di persada antarabangsa bakal membuat persembahan mewakili Malaysia. Nama Mizz Nina mula menjadi siulan melalui lagu What Are You Waiting For bersama Colby O’Donis dan baru-baru ini kembali ligat dengan lagu Take Over bersama Florida.
Ini juga merupakan kali pertama MTV World Stage berkolaborasi bersama Malaysia Convention & Exhibition Bureau(Myceb) yang dianggap mampu menarik lebih banyak pelancong untuk datang melawat Malaysia.

Kolaborasi ini selari dengan perancangan Myceb untuk meningkatkan lagi industri pelancongan Malaysia. Penglibatan Myceb diharap mampu menarik minat generasi muda untuk lebih dekat serta memberi pendedahan kepada mereka.


MTV World Stage Live in Malaysia 2012 akan ditayangkan di Channel MTV SEA pada hari sabtu 28 Julai 2012 pada jam 2.30 petang (Malaysia). Ia akan ditayangkan selama 2 jam dan turut disiarkan di 60 saluran  TV yang lain yang melibatkan lebih dari 150 buah negara di dunia.

MTV World Stage Asia LIVE in Malaysia
Venue  : Sunway Lagoon
Date    : 14 July 2012
Artiste : Justin Bieber, Jay Park, KARA & Mizz Nina

No comments:

Post a Comment