Friday, June 29, 2012

Akhirnya, Akim Miliki Album Sendiri

Dalam album ini juga, terdapat dua lagu duet bersama Stacy dan Fiq.
Setelah tiga tahun berjinak dalam industri seni, akhirnya bintang Akademi Fantasia 7, Akim Ahmad melancarkan album sulungya di Restoran No Black Tie, baru-baru ini.

Menurut Akim, tiga tahun merupakan tempoh percubaan untuk dia menghasilkan ‘single’ yang terbaik.

“Selepas keluar daripada Akademi Fantasia, saya belum bersedia untuk menghasilkan album. Sebab itu, saya hanya keluarkan beberapa single. Berkat keazaman dan kesabaran, akhirnya terhasillah album ini,” katanya.

Album yang berjudul ‘Akim Ahmad’ ini mengandungi 10 buah lagu termasuk tiga buah single popularnya -Bengang, Inikah Cinta dan Janji- yang digubah semula dalam bentuk akustik.

“Tiga lagu ini digubah semula kerana saya ingin memberi nafas baru dan sesuatu yang berbeza kepada peminat,” kata Akim.

Tambah Akim, dia memilih judul album ‘Akim Ahmad’ kerana bagi Akim terdapat jiwa dan hatinya dalam album ini. Lebih istimewa, empat lagu dalam album ini merupakan nukilan sepenuhnya oleh Akim sendiri. 

“Bila peminat dengar album saya, saya ingin mereka rasa seolah-olah saya sedang menyanyi disebelahnya,” kata Akim yang terlibat secara keseluruhan dalam pembikinan album ini termasuk pemilihan lagu dan susunan muzik.

Dalam album ini juga, terdapat dua lagu duet bersama Stacy dan Fiq.



“Saya memilih Stacy kerana saya selesa berkerja dengannya dan saya kagum dengan kemerduan suara Stacy menyanyikan lagu balada. Fiq pula kerana saya merasakan dia mempunyai suara yang hebat,” kata Akim.

Antara lagu baru yang terdapat dalam album ini adalah Daya Cinta, Menunggu dan Kembali (duet bersama Stacy).

Akim menjangkakan lagu Daya Cinta akan menjadi hit kerana menurutnya lagu tersebut yang paling susah untuk disampaikan.

“Lagu itu penuh dengan jiwa, hingga saya harus menangis untuk menyanyikan lagu tersebut. Saya pula seorang yang susah mengalirkan airmata,” tambah Akim.

Album ini juga mendapat sentuhan komposer terkenal seperti Audi Mok, Kunci Demak dan Omar K.

No comments:

Post a Comment