Saturday, June 30, 2012

Akma Sah Bergelar Isteri Farih Hamshi


KUALA LUMPUR, 30 JUN 2012: Didahului dengan khutbah nikah, bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Akma kini sah menjadi isteri kepada eksekutif Petronas, Farih Hamshi.

Dengan sekali lafaz, pasangan mempelai yang mengenakan persalinan putih ini dinikahkan oleh bapa Akma sendiri iaitu Abdullah Abdul Rahim di Dewan Cempaka, Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaacob Latiff, Bandar Tun Razak, Cheras, tepat jam 10.35 pagi tadi.

Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, menerima mas kahwin sebanyak RM300 tunai bersama wang hantaran berjumlah RM15,000.

Penyanyi yang pernah digosipkan bercinta bersama Felix Agus itu menerima tujuh dulang hantaran berupa cincin, wang hantaran, beg tangan, kain sutera, kek, set penjagaan diri jenama Chanel dan jam tangan dari pengantin lelaki.

Manakala, Farih Hamshi atau nama penuhnya Farih Hamshi Datuk Hj Mohamad Fatmi, 28, menerima sembilan dulang hantaran yang terkandung jam tangan, kemeja, sebentuk cincin, kasut, pen bersama kaca mata Ray Ban, set tali pinggang, set wangian Chanel, buah-buahan dan kek daripada pihak pengantin perempuan.

Majlis pernikahan ini disaksikan oleh dua imam Masjid Tarmizi iaitu Ustaz Harun Abdul Halim dan Ustaz Alias Shaharin yang mana diketuai oleh jurunikah dari Jabatan Agama Wilayah, Tuan Hj Zulkifli Mohamad.

"Syukur Alhamdulillah, akhirnya Akma sah menjadi isteri Farih. Rasa tidak percaya pun ada juga.



"Namun, saya berterima kasih kerana segala yang dirancang selama ini berakhir dengan majlis yang sempurna dengan ikatan yang sah sebagai suami isteri," jelas Akma dalam nada gembira.

Menyokong apa yang dikatakan isterinya itu, Farih turut berkongsi perasaan yang sama dengan hanya mampu tersenyum girang tatkala melafazkan kata-kata manis.

"Sama seperti isteri saya, saya bersyukur segalanya berjalan dengan lancar walaupun sebelum ini ada sedikit sangkut.

"Namun, itu bukanlah satu masalah besar sebaliknya apa yang dilalui itu berakhir apabila Akma sah menjadi suri dalam hidup saya," ujar Farih.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan rombongan pengantin lelaki yang hadir dari Kelantan dengan mengenakan baju bertemakan warna unggu.

Manakala pihak pengantin perempuan pula mengenakan baju bertemakan rona jingga terang bersesuaian dengan dewan persandingan yang menggunakan tema warna yang sama.

Sebaik selesai majlis akad nikah, pasangan pengantin dua sejoli ini akan bersanding pada jam 1.30 petang di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

No comments:

Post a Comment