Monday, June 18, 2012

Abby Yus Bengang Pelawak Baru Biadap


KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak terkenal, Abby Yus, enggan lagi menegur sikap segelintir artis komedi baru yang dikatakan bersikap biadap dan kurang sopan terhadap para artis komedi lama sepertinya.

Dalam kenyataannya melalui laman Mstar Online baru-baru ini, Abby Yus yang mula berkecimpung di dalam dunia hiburan sejak tahun 1983 menyatakan bahawa artis-artis komedi baru itu sudah ‘besar panjang’ untuk menilai sikap mereka sendiri dan tidak perlu ditegur lagi.

“Saya perhatikan ada segelintir pelawak muda yang bersikap biadap dan memandang remeh pada golongan artis lama kerana beranggapan mereka sudah hebat dan popular. Bagi saya, aspek adab dan tatasusila patut ada pada setiap individu.

“Tidak perlulah saya tegur mereka apabila bersikap begitu di depan orang lain kerana masing-masing sudah besar dan boleh berfikir sendiri,” katanya yang dipetik dari laman berita tersebut.

Menurut Abby Yus, ketika dia memulakan kariernya sebagai pengamal industri hiburan bersama rakan-rakan seangkatannya, mereka sangat menghormati dan memandang tinggi sumbangan artis-artis lama yang banyak memberikan tunjuk ajar.

“Ketika saya atau artis-artis senior lain baru mula bertapak dalam bidang seni dulu, kami sangat menghormati artis yang lebih senior daripada kami. Sayangnya, perkara itu tidak dimiliki segelintir artis muda,” katanya lagi.

Selain itu, pelawak itu turut membidas sikap beberapa stesen televisyen dan penerbit yang seolah-olah ‘memanjakan’ golongan artis komedi baru sehingga ramai di kalangan mereka yang jadi ‘besar kepala’ terhadap pelawak yang lebih veteran.

Bagaimanapun, Abby Yus menjelaskan bahawa dia tidak dapat berbuat apa-apa mengenai sikap stesen televisyen dan penerbit itu selain terpaksa menyesuaikan dirinya dengan keadaan tersebut.

“Sebagai pelakon yang masih mencari rezeki dalam bidang ini, saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan, menjaga prestasi kerja dan bersaing secara sihat agar terus relevan dengan perkembangan dunia hiburan pada hari ini,” ujarnya meluahkan rasa.

Terbaru, Abby Yus dan pelakon komedi veteran, AR Badul, terlibat di dalam sebuah rancangan terbitan Astro Warna, Karoot Komedia X, bersama beberapa pelakon muda lain seperti Johan Rajalawak, Fouziah Gous, Nabil Ahmad, Tasha Shilla, Anzalna, Neelofa dan Marsha. – Mynewshub.my

No comments:

Post a Comment