Monday, May 28, 2012

Remy Ishak menyanyi dalam filem “29 Februari”


Pelakon yang kacak berusia 30 tahun, Remy Ishak berkongsi keterujaan beliau dalam menjayakan watak sebagai Budi bagi filem yang dibintanginya untuk KRU Studios bertajuk “29 Februari”. 

Filem ini merupakan filem pertamanya berlakon bersama bintang baru, Jojo Goh yang merupakan aktres berbangsa Cina dan dimana gabungan mereka memberikan seribu satu kelainan bagi filem terbitan KRU Studios ini.

Ikuti temubual lebih lanjut mengenai filem ini bersama Remy Ishak. 

Lama tidak mengetahui perkembangan Remy selepas membintangi filem “Nur Kasih The Movie”, kongsi kepada peminat anda apa yang anda sedang lakukan buat masa ini? 
Saya baru sahaja habis penggambaran filem “Bravo 5”. Kalau dapat lihat kulit saya bertambah gelap dari sebelumnya disebabkan filem Komando pertama di Malaysia ini. Untuk filem ini juga, saya digandingkan bersama dengan Beto Kusyairy. Yang terbaru, filem pertama saya bersama KRU Studios ialah “29 Februari”.

“29 Februari” merupakan filem bergenre cinta bukan? Boleh ceritakan dengan lebih lanjut watak anda dalam filem ini? 
Saya memegang watak Budi dimana dia lahir pada tahun lompat (29 Februari). Oleh yang demikian, tumbesaran otaknya jauh lambat berbanding orang lain. Yang membezakan dia hanyalah saiz badannya yang membesar. Filem ini secara keseluruhan adalah mengenai kisah percintaan diantara Budi dan Jojo Goh yang memegang watak seorang gadis berbangsa Cina yang akhirnya jatuh cinta pandang pertama pada Budi. 

Apakah kesukaran yang dihadapi sepanjang penggambaran filem ini? 
Kesukaran yang paling saya rasai adalah memikul tanggungjawab memegang watak sebanyak 5 peringkat usia. Dalam cerita ini, karakter Budi banyak perubahan, namun pemikirannya masih kebudak-budakkan kerana lambat matang. Selain daripada itu, kesukaran paling tidak boleh dilupakan adalah ketika sesi penggambaran di Dataran Merdeka, dimana saya terpaksa berlakon dalam set penggambaran yang besar. 

Senang tak berlakon dengan Jojo Goh, kerana dia merupakan pelakon baru bukan? 
Ya, betul dia masih baru dalam bidang lakonan dan rezeki dia kerana berjaya mendapat tempat di dalam filem tempatan. Saya boleh katakan senang bekerjasama dengan dia kerana sikap profesional yang dia miliki walaupun kadang-kadang dia tidak menepati kehendak pengarah. Kami banyak berinteraksi sesama sendiri untuk mendapatkan keserasian bersama. 

Di dalam filem ini, Remy dikehendaki menyanyikan lagu di dalam sebuah babak percintaan, adakah sukar untuk menghayati watak sambil menyanyi? 
Ini pertama kali saya menyanyi di dalam filem. Walaupun pernah ada pengalaman menyanyi di pentas teater muzikal, namun perasaan dan pengalamannya jauh berbeza. Saya terpaksa menyanyi sambil berlari diiringi dengan tangisan ketika itu. Itu merupakan antara babak nyanyian yang saya tidak boleh lupakan. Terpaksa lakukan tiga perkara dalam satu masa yang sama. Filem ini betul-betul menguji kredibiliti saya sebagai pelakon kerana penat bermain dengan emosi. Mungkin juga, ini pengalaman pertama saya bekerja di bawah Edry Abd. Halim, disebabkan itu saya tidak dapat fahami apa yang pengarah mahukan. Namun semuanya berakhir dengan jayanya diatas kerja kuat dari produksi KRU Studios. 

Terima kasih Remy Ishak diatas masa yang diluangkan 
Sama-sama dan berjumpa lagi nanti! 

“29 Februari” bakal ditayangkan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak pada 30 Ogos nanti!

No comments:

Post a Comment