Tuesday, May 1, 2012

Pengurus Siti Nurhaliza Tidak Akan Berundur


Siapa kata menjadi pengurus atau pembantu peribadi seseorang artis dan selebriti itu tidak popular?

Apatah lagi jika bekerja lama dengan artis berkenaan. Mereka ini turut menjadi perhatian dan tumpuan peminat artis itu sendiri.

Siapa tidak mengenali Rozi Abdul Razak, figura bertubuh kecil molek ini yang menjadi sahabat, kakak ipar dan pengurus kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Selain menjadi pengurus selama 15 tahun kepada Siti Nurhaliza, Rozi atau lebih mesra disapa Kak Zyee juga merupakan kakitangan di Siti Nurhaliza Production (SNP) iaitu syarikat milik Siti dan keluarga.

Sempena Hari Buruh yang jatuh pada 1 Mei ini, portal murai.com.my menghubungi Rozi bertanyakan tentang hal kerjayanya dan pahit manis selama 15 tahun bertugas dan menjadi individu yang paling rapat dengan penyanyi lagu Cindai.

"Kerjaya menguruskan artis tidak ada makna cuti. Jika orang lain cuti, kerjaya artis agak berbeza. Hujung minggu juga kena kerja kerana show atau undangan akan banyak pada hujung minggu dan hari cuti umum.


"Namun sepanjang 15 tahun menjaga Siti secara profesional, banyak kenangan yang telah tercipta. Kalau ada yang pahit pun, biarlah mengenang kepada yang manis-manis sahaja.Kami dapat pergi ke banyak tempat, negeri dan negara, dapat bertemu ramai orang tidak kira bangsa, agama, kedudukan atau pun pangkat.

"Ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tiada nilainya. Melalui jadual harian yang sangat bererti kerana pada setiap hari saya akan menemui dan melalui pengalaman yang berbeza," kata Rozi yang sebelum ini pernah menjadi wartawan hiburan.

Rozi telah mengambil alih tempat arwah bapa dan abang Siti setelah dia mendirikan rumah tangga dengan abang penyanyi tersebut.

Tentang cuti atau tidak itu tidak pernah menjadi masalah buat Rozi kerana menurutnya dia sudah terbiasa dengan keadaan. Jadual untuk Siti sudah diatur dari awal lagi dan Rozi sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

"Setakat ini jika ada apa-apa yang saya ingin lakukan, perkara paling utama adalah saya kena pastikan jadual Siti dan maklumkan kepadanya dahulu sebelum dia memberi kata putus," ujarnya lagi.

Namun ada juga khabar yang mengatakan bahawa Rozi mahu mengundur diri daripada menjadi pengurus kepada Siti kerana kesibukannya dalam bidang nyanyian dan juga perniagaan.

"Sampai saat ini saya masih bekerja di SNP dan dalam masa yang sama masih menguruskan dia. Selagi diperlukan, saya akan terus berbakti dan meneruskan tugas saya yang sudah berusia 15 tahun ini, " jawab Rozi mengenai pertanyaan berkaitan pengunduran ini.

Sempena Hari Buruh yang jatuh pada 1 Mei ini, Rozi tidak bercuti seperti penjawat awam lain tapi dia kini sedang berada di kampungnya Kuala Lipis untuk meraikan majlis jemput menantu buat ahli keluarga baru mereka iaitu adik bongsu kepada Siti yang berkahwin baru-baru ini. Seluruh seisi keluarga penyanyi ini berada disana bagi meraikan majlis berkenaan.

No comments:

Post a Comment