Tuesday, May 1, 2012

Awie Menang Pelakon Terbaik Teater Muzikal (VIDEO)


Menurut Awie, trofi tersebut merupakan satu gegaran buatnya untuk meneruskan penglibatannya dalam bidang ini secara lebih serius.

Pelakon filem popular yang juga merupakan penyanyi rock terkenal tanahair, Awie dinobatkan sebagai pemenang trofi Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian yang berlangsung malam tadi di One World Hotel, Bandar Utama.

Persembahan Awie yang dipilih sebagai pemenang buat kali kedua dinilai menerusi pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal terbitan Tall Order Productions. Pelakon itu memenangi kategori yang sama di Anugerah Seni BOH Cameronian ke 8 menerusi Cuci The Musical.

Produksi Lat Kampung Boy Sebuah Musical membawa pulang 6 trofi daripada 12 kategori yang dipertandingkan antaranya Persembahan Ensemble Terbaik dan Muzik Asal Terbaik (Michael Veerapen).

Terdahulu di majlis Anugerah Teknikal, Lat memenangi Set Terbaik, Rekaan Kostum dan Solekan Terbaik dan Rekaan Bunyi Terbaik.

Pengarah Terbaik dimenangi oleh Christopher Ling menerusi The Last Five Years. Selain itu, produksi The Last Five Years turut memenangi kategori Arahan Muzik Terbaik dan Rekaan Tatacahaya Terbaik.

“Saya bersyukur kerana menang dua kali berturut-turut sebagai Pelakon Utama Terbaik. Ia merupakan satu di luar jangkaan saya.
Teater muzikal terbitan Enfiniti Vision Media iaitu The Secret Life of Nora membawa pulang Naskah Asal / Lirik Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik (Stephanie Van Driesen) dan Anugerah Pilihan Penonton.

Sementara dalam segmen teater, produksi Short Eyes membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik (Ayam Fared) dan Pelakon Pembantu Terbaik (Naque Ariffin).

Pelakon filem …Dalam Botol, Rosnan Rahman memenangi gelaran Pelakon Utama Terbaik menerusi Rebab Berbisik. 

Manakala produksi Projek Disko Baldi dipilih sebagai pemenang Persembahan Kumpulan Terbaik dan Anugerah Pillihan Penonton.

Teater arahan Ida Nerina, What’ll Break You memenangi kategori Skrip Asal Bahasa Inggeris Terbaik (Ivan Yeo).


Setiap pemenang menerima trofi dan hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Anugerah Seni BOH Cameronian 2012 kali ke 9 (9BCAA) meraikan pencapaian tertinggi industri seni persembahan dalam satu majlis gilang-gemilang bertemakan 1920an Roaring Tweinties.

Selepas setahun ditiadakan, 9BCAA kembali memberi penghargaan kepada penggiat seni persembahan tarian, muzik, teater muzikal dan teater yang dipentaskan pada 2011.

Anugerah Seni BOH Cameronian disokong Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta JKKN. Anugerah ditaja oleh BOH Cameronian.

Senarai penuh pemenang anugerah 9BCAA boleh diperolehi di awards.kakiseni.com.

No comments:

Post a Comment