Wednesday, April 25, 2012

Lufya suka tengok Zarina mengamuk


Sebelum ini penyanyi dan pelakon, Lufya pernah mengeluarkan kenyataan bagi memperjelaskan mengenai kekeliruan masyarakat terhadap wajahnya yang seakan-akan sama dengan pelakon, Zarina Anjoulie Lavocah. Namun, beberapa minggu lalu, peserta Akademi Fantasia 6 ini sekali lagi tampil dengan isu yang sama dan tindakannya itu telah menimbulkan kemarahan Zarina sehingga pelakon kontroversi tersebut melancarkan ‘perang’ terhadapnya.

Zarina menerusi kenyataannya menganggap tindakan Lufya itu hanya kerana mahukan publisiti murahan manakala Lufya ketika ditemui di majlis pelancaran Barisan Artis Nasional baru-baru ini memberitahu beliau membuat kenyataan sebegitu kerana ia menyentuh maruah dirinya.

“Saya rasa tindakannya itu lawak. Memang benda ini dah lepas, tapi benda ini sangat mengaibkan serta memalukan. Bila benda berkait dengan maruah, sampai mati benda itu akan diperkatakan. Dia nak melancarkan perang macamlah saya ni kutuk famili dia. Tak kisahlah dia nak mengamuk kerana saya bercakap demi maruah saya, keluarga dan juga karier saya,” ujar Lufya kepada GUA baru-baru ini.

“Kenyataan saya ialah jangan kelirukan saya dengan dia, itu saja. Dia cakap saya aibkan dia padahal dia yang mengaibkan diri dia sendiri. Saya memang tak ada niat nak aibkan dia. Saya cuma tak nak terkena lagi. Bila setiap kali gambar panas dia keluar, orang akan beri perhatian dan ingat itu mungkin saya.

“Dulu saya dah pernah kena, orang salah tengok saya dan pergi mana-mana orang akan ingat Zarina itu saya. Pada mulanya, saya pelik kenapa orang pandang sinis pada saya, kemudian lama-lama baru saya tahu. Dulu, ada makcik pernah tegur saya kerana berani tak pakai baju.

“Ada juga orang cakap lucah-lucah dengan saya dan cakap saya ini berani mati. Saya sampai jadi fobia nak pergi mana-mana. Dah banyak kali juga saya kena. Malah, yang terbaru, saya kena raba dekat The Curve akhir bulan lepas. Mungkin dia rasa apa yang dia buat pasal gambar, tak berat, tapi benda ini berat sebab saya dari keluarga yang baik-baik. Benda ini pasal maruah, jadi saya tak nak dikaitkan.

“Saya sedih jika nama saya naik pasal cerita dia. Dia nak perhatian lepas itu nak cakap saya pula nak kan publisiti. Bagi saya, semua orang buat silap tapi janganlah terhantuk banyak kali. Saya harap dia bertenang dan bersabar sikit. Jika ada masalah, tak payah melenting kerana kalau gaduh sana gaduh sini, satu hari nanti dia yang akan menyesal.”

Ditanya adakah beliau bersedia untuk bertemu dengan Zarina bagi menyelesaikan masalah, Lufya memberitahu, “Saya tak ada masalah untuk bertemu dia, malah bukan tak nak cuba untuk bertemu, tapi saya rasa lebih baik tak payah. Baru benda sikit macam ini, dia dah melenting macam itu. Bagi saya, dia tak matang dan tak belajar dari kesilapan.”

No comments:

Post a Comment